Putin: Bersedia hadapi senario ‘tergempar’

MOSCOW, 14 APRIL – Presiden Vladimir Putin mengingatkan pegawai semalam supaya bersedia menghadapi senario ‘tergempar’ dalam pandemik koronavirus tatkala Moscow memperketatkan langkah ‘lockdown’ dan Rusia melaporkan angka jangkitan harian tertinggi.

Dalam sidang video dengan pegawai semalam, Putin berkata minggu-minggu akan datang akan ‘menentukan’ tindakan Rusia dalam memerangi virus memandangkan situasi ‘berubah setiap hari, dan malangnya bukan semakin baik.’

Beliau memberitahu pegawai bahawa mereka perlu ‘menimbang semua langkah tentang perkembangan senario, walaupun yang paling kompleks dan luar biasa.’

Dalam sidang video, Putin menggesa langkah-langkah diambil untuk menyelesai kekurangan peralatan perlindungan untuk pekerja perubatan.

“Saya tahu peralatan sentiasa tidak mencukupi dan sudah tentunya kami memerlukan langkah tambahan untuk mengatasi kesemua kekurangan tersebut,” kata presiden.

Beliau menambah Rusia juga akan membawa masuk kementerian pertahanan untuk membantu jika perlu.

Timbalan Perdana Menteri Tatiana Golikova, yang menyelaras usaha untuk memerangi virus, meramalkan jumlah kes yang lebih tinggi di Moscow dan rantau sekitarnya akan terus meningkat pada hari-hari akan datang.

“Sudah tentunya kami berharap peningkatan ini akan mendatar,” tambah beliau. – AFP

Pegawai polis Rusia bersedia memasuki terowong ketika menjalankan rondaan di Moscow, Rusia. – AP