Putin, Biden bincang keselamatan siber, senjata

GENEVA, 17 JUN – Presiden Rusia Vladimir Putin semalam berkata, pertemuan dengan rakan sejawatan dari Amerika Syarikat, Joe Biden adalah ‘konstruktif’ dan kedua-dua pihak bersetuju membincangkan lebih lanjut mengenai keselamatan siber dan kawalan senjata nuklear.

“Perbualan dan perbincangan kami berdua benar-benar membina,” kata Putin kepada wartawan selepas bertemu dengan Biden di Geneva.

Presiden Rusia itu menggambarkan Biden sebagai ‘individu yang membina, seimbang, sangat berpengalaman.

“Anda dapat melihatnya dengan segera,” katanya.

Putin juga berkata kedua-duanya setuju mengadakan rundingan bersama mengenai keamanan siber kerana kedua-dua negara itu mempunyai masalah penggodaman dan penjenayah siber.

Selain itu, Putin berkata Rusia dan AS sebagai kuasa nuklear juga mempunyai tanggungjawab khusus untuk mewujudkan kestabilan strategik dunia.

“Biden juga sudah membuat keputusan yang bertanggungjawab Februari lalu, iaitu untuk menyambung perjanjian nuklear yang baharu dan senjata Rusia dan Amerika Syarikat.

“Persoalannya adalah apa yang akan berlaku seterusnya. Kami bersetuju bahawa rundingan akan dimulakan antara kementerian luar dan kementerian pertahanan,” katanya. – AFP

Joe Biden (kiri) dan Vladimir Putin bergambar untuk media di Villa La Grande semasa sidang kemuncak di Geneva, Switzerland pada 16 Jun 2021. – AP