MOSCOW, 4 Okt – Presiden Vladimir Putin melahirkan kebimbangan mengenai kelewatan beberapa persiapan Rusia untuk Piala Dunia 2018 pada Selasa sambil memberi amaran tidak ada alasan untuk berpuas hati.
“Apa-apa kelewatan dalam persiapan untuk Piala Dunia tidak dapat diterima,” kata Putin pada mesyuarat Majlis Presiden Untuk Sukan Rusia.
“Penyelesaian masalah paling rumit pada peringkat akhir dan kami harus memberi perhatian khusus kepadanya,” katanya.
“Pada peringkat akhir, segala-galanya seolah-olah sudah selesai tetapi jika sesuatu belum selesai, ia bermakna tiada apa-apa yang telah dilakukan. Dan jika kami membiarkan diri berehat, kami tidak akan dapat menyiapkan tugasan untuk temasya ini.”
Menteri Sukan Rusia Pavel Kolobkov sebelum ini memberitahu majlis presiden bahawa kerja keras telah diperhatikan di 12 tapak pembinaan tetapi menambah bahawa kelewatan ini secara keseluruhan tidak akan menjejaskan persiapan Piala Dunia.
“Terdapat banyak tunggakan di tapak pembinaan di 12 kemudahan tetapi ia tidak akan menjejaskan tempoh pelaksanaan kerja-kerja itu,” kata menteri itu.
Kejohanan Piala Dunia 2018 akan diadakan di 12 tempat di 11 bandar raya Rusia; Moscow, Saint Petersburg, Sochi, Kazan, Saransk, Kaliningrad, Volgograd, Rostov-on-Don, Nizhny Novgorod, Yekaterinburg dan Samara. – AFP