Putin dijangka kekal berkuasa

MOSCOW, 19 SEPT – Parti pimpinan Presiden Rusia, Vladimir Putin, dijangka mengekalkan kedudukan majoriti di parlimen selepas proses mengundi tiga hari sempena pilihan raya umum yang melabuhkan tirai hari ini.

Jangkaan itu semakin jelas apabila kebanyakan pengkritik Kremlin dilarang daripada bertanding manakala kebanyakan pihak pembangkang sudah ‘dibeli’ pihak lawan.

Pilihan raya itu diadakan sebagai suara kebangkitan susulan tindakan keras terhadap parti pembangkang selepas pihak berkuasa Rusia memenjarakan musuh lama Putin, Alexei Navalny, dan mengisytiharkan pertubuhannya sebagai pengganas.

Dalam pemilihan hujung minggu itu, semua seteru utama Putih ditahan atau melarikan diri dari negara itu, malah mana-mana pihak yang dikaitkan dengan kumpulan berkenaan dilarang mencalonkan diri dalam pemilihan parlimen.

Dalam pada itu, pengundian yang dijadualkan ditutup jam 8 malam ini waktu tempatan, dicemarkan dengan tuntutan penapisan maklumat dan pembuangan kertas undi palsu.

Ketika proses pengundian bermula Jumaat lalu, Apple dan Google menimbulkan kekecohan dalam kalangan pembangkang Rusia apabila mengeluarkan aplikasi ‘undian pintar’ yang menjadi panduan pemilihan calon.

Aplikasi itu diperkenalkan selepas Kremlin menggunakan taktik kotor meletakkan calon dengan nama hampir sama dan penampilan mirip dengan calon pembangkang bagi mengaburi pilihan pengundi.

Justeru itu, aplikasi itu diperkenalkan oleh Navalny bagi menunjukkan kepada penyokong calon mana yang harus disokong oleh mereka untuk mengalahkan penyokong Putin.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Rusia, jumlah yang keluar mengundi adalah 35 peratus. Sementara itu, media sosial Rusia dibanjiri dengan aduan mengenai halangan kertas undi dan anggota tentera yang melakukan rondaan di tempat mengundi. – AFP

Vladimir Putin mengundi secara dalam talian pada hari pertama pilihan raya parlimen di kediaman Novo-Ogaryovo di luar Moscow. – AFP