Putin dijangka laksanakan sekatan baharu

MOSCOW, 20 OKT – Rusia hari ini merekodkan 1,028 kematian dalam masa sehari akibat COVID-19, dengan Presiden Vladimir Putin dijangka akan melaksanakan sekatan baharu seluruh negara, di negara Eropah yang paling teruk terjejas.

Angka baharu menjadikan jumlah kematian rasmi di Rusia kepada 226,353, yang tertinggi di benua itu meskipun pihak berkuasa dituduh meremehkan keadaan pandemik.

Negara itu juga mencatatkan 34,074 kes jangkitan baharu, menurut perkiraan rasmi.

Kadar jangkitan meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan setelah program vaksinasi terbantut, dengan hanya 35 peratus penduduk diinokulasi sepenuhnya.

Walaupun rayuan berulang-ulang, Putin bergelut untuk meyakinkan rakyatnya untuk mendapatkan vaksin, malahan jurucakapnya, Dmitry Peskov berkata hari ini dia belum mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Para pegawai kesihatan memakai alat pelindungan peribadi (PPE) merawat pesakit yang dijangkiti koronavirus di hospital Moscow. Vladimir Putin dijangka akan melaksanakan sekatan baharu setelah Rusia mencatatkan kes kematian baharu tertinggi.- AP

Pemimpin Rusia itu dijangka akan meluluskan cadangan kerajaan untuk melaksanakan cuti selama seminggu di seluruh negara pada hujung bulan ini untuk membendung penularan virus.

Dalam rancangan tersebut, penduduk Rusia tidak akan bekerja pada minggu pertama bulan November, berbetulan dengan cuti sekolah.

Putin melaksanakan cuti berbayar semasa kemuncak koronavirus sebelum ini, yang terbaharu pada Mei.

Semalam, datuk bandar Moscow, Sergei Sobyanin mengarahkan sekatan pertama koronavirus sejak musim panas lalu.

Dia memberitahu warga Moscow berusia 60 tahun ke atas yang belum menerima suntikan untuk bekerja dari rumah dan melanjutkan vaksinasi mandatori ke atas pekerja perkhidmatan. Sekatan berkenaan berkuat kuasa Isnin depan dan berakhir sehingga penghujung Februari.

Sementara itu, Sobyanin turut mengarahkan 30 peratus daripada kakitangan syarikat untuk bertugas dari rumah. – AFP