Putin jalani pengasingan kendiri

MOSCOW, 14 SEPT – Presiden Vladimir Putin sedang menjalani pengasingan kendiri selepas kes koronavirus dikesan dalam golongan dalamannya, kata Kremlin hari ini, ketika Rusia bergelut dengan kadar jangkitan COVID-19 yang tinggi.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov memberitahu wartawan bahawa Putin ‘berada dalam keadaan sihat’ dan telah mengambil ujian koronavirus, tanpa menyatakan keputusannya.

Putin dijangka berkunjung ke ibu negara Tajikistan, Dushanbe untuk sidang kemuncak serantau pada akhir minggu ini tetapi dalam panggilan telefon dengan Presiden Emomali Rakhmon berkata beliau tidak dapat hadir secara fizikal.

“Putin berkata disebabkan kes koronavirus dikesan dalam golongan dalamannya, beliau akan menjalani pengasingan kendiri untuk satu tempoh masa,” kata Kremlin dalam satu kenyataan.

Pihak berkuasa Rusia telah mengambil langkah luar biasa untuk melindungi Putin – yang telah diberikan suntikan vaksin tempatan Sputnik V – sejak bermulanya pandemik.

Pemimpin asing, wartawan dan pegawai semuanya telah diwajibkan mengasingkan diri sebelum bertemu dengan pemimpin Rusia itu.

Semalam, Putin bertemu dengan Presiden Syria Bashar al-Assad dan atlet Rusia yang kembali dari Sukan Paralimpik Tokyo. Rusia adalah antara negara yang paling teruk terjejas oleh pandemik koronavirus, dengan jumlah kes kelima tertinggi dicatat menurut perangkaan AFP – dan telah bergelut untuk mengawal jangkitan meskipun akses yang senang kepada vaksin. – AFP

Gambar fail menunjukkan Vladimir Putin bercakap semasa mesyuarat di Moscow, Rusia. Kremlin berkata Putin sedang menjalani pengasingan kendiri disebabkan kes koronavirus dikesan di kalangan golongan dalamannya. – AP