MOSCOW, 13 SEPT – Presiden Vladimir Putin hari ini menyeru ‘pengukuhan kerjasama masa depan’ dengan Korea Utara ketika beliau menjadi tuan rumah kepada pemimpin negara tertutup itu, Kim Jong Un dalam satu majlis makan malam rasmi di timur jauh Rusia.
Putin mengadakan perbincangan dengan Kim di kosmodrom Vostochny Rusia, dalam sidang kemuncak yang belum pernah berlaku sebelum ini ketika Moscow semakin dipinggirkan Barat atas serangannya di Ukraine.
“Untuk pengukuhan kerjasama dan persahabatan di masa depan antara negara kita,” kata Putin sambil mengangkat gelasnya dalam rakaman yang disiarkan oleh televisyen negara Rusia.
“Bagi kesejahteraan dan kemakmuran negara kita, bagi kesihatan pengerusi dan semua yang hadir,” tambah beliau.
Putin berdiri mengangkat gelasnya, dengan Menteri Luar dan pertahanannya duduk di sebelahnya dan menghadap Kim dan delegasi Korea Utara.
Beliau memuji hubungan sejarah Moscow dan Pyongyang, memetik peribahasa Rusia menyatakan ‘hargai persahabatan yang telah lama dijalin berbanding memulakan dua sahabat baharu.’
“Hubungan kita terjalin kembali dalam perjuangan Korea untuk kebebasan pada tahun 1945, ketika tentera Soviet dan Korea bertempur bersama menentang tentera Jepun,” kata Putin.
“Dan hari ini kami juga berusaha untuk mengukuhkan ikatan persahabatan dan kejiranan yang baik,” katanya. – AFP
