Putin lawat India, kukuh hubungan tentera, tenaga

NEW DELHI, 6 DIS – Presiden Rusia, Vladimir Putin hari ini memuji India sebagai ‘kuasa hebat’ ketika beliau tiba di New Delhi dalam usahanya mengukuhkan hubungan tentera dan tenaga selepas Amerika Syarikat (AS) cuba menarik perhatian sekutu tradisinya itu baru-baru ini.

Ia merupakan lawatan kedua pemimpin Rusia itu ke luar negara sejak pandemik bermula – beliau tidak hadir sidang kemuncak G20 dan COP26 tahun ini – selepas sidang kemuncak dengan Presiden AS, Joe Biden di Geneva.

“Kami menganggap India sebuah kuasa hebat, negara peramah dan rakan yang mengharungi ujian masa bersama,” kata Putin di ibu negara India, bersama Perdana Menteri Narendra Modi.

Dalam usahanya menyaingi kebangkitan China, Washington sudah menubuhkan satu QUAD dialog keselamatan bersama India, Jepun dan Australia, membangkitkan kebimbangan antara Beijing dan Moscow.

India merupakan sekutu kepada Kesatuan Soviet semasa Perang Dingin, satu hubungan yang berpanjangan, dengan menggelarnya ‘perkongsian strategik istimewa’. – AFP

Putin berjabat tangan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi pada pertemuan mereka di New Delhi. – AFP