Putin selar tuduhan tidak berasas

WASHINGTON, 17 Julai – Presiden Vladimir Putin hari ini menuduh Britain membuat tuduhan tidak berasas terhadap Rusia selepas bekas pengintip Soviet menjadi antara empat mangsa yang didapati diracun oleh agen saraf di selatan England.

Apabila ditanya semasa temu bual bersama Fox News berhubung kenyataan kerajaan Britain bahawa Moscow adalah dalang serangan Novichok ke atas bekas pengintip Sergei Skripal, Putin berkata London tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaannya itu.

“Kami ingin mendapatkan bukti dokumentar tetapi tiada sesiapa pun memberikannya kepada kami,” beritahu Putin melalui penterjemah kepada rangkaian Amerika Syarikat (AS) selepas sidang kemuncak bersama Presiden Donald Trump di Finland.

“Begitu juga dengan tuduhan campur tangan dalam proses pilihan raya di Amerika,” beliau menambah dalam merujuk dakwaan berhubung campur tangan Rusia pada pilihan raya presiden AS 2016 yang dimenangi Trump.

Putin mengatakan kes itu mungkin berpunca dari isu-isu domestik di Britain, dengan mengatakan “Tiada siapa pun mahu menelitinya.”

“Kita baru saja menyaksikan tuduhan tidak berasas, mengapa ia dilakukan dengan cara sebegini? Kenapa hubungan kami terjejas akibat perkara ini?”

Bekas ejen Rusia dua muka Skripal dan anak perempuannya Yulia rebah di Salisbury pada 4 Mac lalu selepas terdedah kepada Novichok. Kini, kedua-dua mereka sudah sembuh.

Kemudian pada 30 Jun, Charlie Rowley dan pasangannya Dawn Sturgess jatuh sakit tidak jauh dari serangan Skripal selepas terdedah kepada agen saraf yang sama dan mengakibatkan Sturgess meninggal dunia pada 8 Julai lalu.

Rusia dengan sekeras-kerasnya menafikan dakwaan berkenaan yang telah mencetuskan pertikaian diplomatik yang membawa kepada pengusiran diplomatik balas antara Britain dan sekutu-sekutunya dan Rusia. – AFP