MOSCOW, 31 OKT – Presiden Rusia, Vladimir Putin akan mengadakan rundingan dengan para pemimpin Armenia dan Azerbaijan hari ini, ketika Moscow berusaha untuk menegaskan semula peranannya sebagai perantara kuasa utama antara musuh ketat Caucasus.
Rundingan di bandar Sochi, di selatan Rusia itu akan diadakan di tengah-tengah penglibatan Barat yang semakin meningkat di wilayah Caucasus yang tidak menentu, di mana Rusia – terganggu oleh perangnya di Ukraine – kelihatannya telah kehilangan pengaruh selepas beberapa dekad mendominasi.
Ia akan bermula sebulan selepas pertempuran terburuk antara kedua-dua negara sejak perang mereka pada 2020.
Pejabat Perdana Menteri Armenia, Nikol Pashinyan dan Presiden Azerbaijan Ilham Aliyev berkata mereka berdua telah tiba di Sochi untuk mesyuarat itu.
Kremlin berkata rundingan itu akan menumpukan pada pelaksanaan perjanjian yang dicapai dalam rundingan di bawah pengantaraan Rusia tahun lalu dan “langkah selanjutnya untuk mengukuhkan kestabilan dan keselamatan” di rantau ini.
Putin juga akan mengadakan perbinca-ngan dengan setiap pemimpin sahaja, kata Moscow.
Armenia dan Azerbaijan telah berperang dua kali pada 2020 dan pada 1990an ke atas wilayah Azerbaijan yang berpenduduk Armenia di Nagorno-Karabakh. – AFP
