Putin, Xi lancar talian paip gas

MOSCOW, 2 DIS – Presiden Rusia Vladimir Putin dan pemimpin China Xi Jinping hari ini melancarkan talian paip gas pertama yang menghubungkan kedua-dua negara.

Talian paip ‘Power of Siberia’ itu menghubungkan pengeksport gas terkenal dunia dan pengimport tenaga terbesarnya yang mengakhiri rundingan bertahun lamanya dan kerja dalam keadaan yang sukar.

“Hari ini adalah luar biasa, satu peristiwa bersejarah bukan sahaja untuk pasaran tenaga global tetapi pertama untuk kami dan untuk anda, untuk Rusia dan China,” kata Putin ketika acara yang disiarkan di televisyen di antara kedua-dua pemimpin.

Xi berkata projek itu ‘berfungsi sebagai satu model kerjasama di antara negara kami.”

“Perkembangan hubungan China-Rusia akan menjadi dasar luar utama untuk kedua-dua negara,” kata Xi di televisyen Rusia dalam kata-kata yang diterjemahkan.

Presiden China Xi Jinping melambai kepada Presiden Rusia Vladimir Putin menerusi persidangan video di Beijing kelmarin. – AFP

Slexei Miller, ketua syarikat gas Rusia Gazprom yang mempelopori projek itu, berkata hampir 10,000 orang telah bekerja untuk membina talian paip besar itu.

Ketika upacara, Miller ditunjukkan mengarah pekerja untuk membuka injap yang membenarkan gas mengalir ke sempadan China.

“Gas akan disalurkan kepada sistem talian paip Republik Rakyat China,” kata beliau.
Talian paip sepanjang 3,000 kilometer itu merentasi dari kawasan terpencil Siberia timur ke Blagoveshchensk di sempadan, seterusnya ke China.

Rusia dan China menandatangani perjanjian 30 tahun bernilai AS$400 bilion untuk membina dan mengendali talian paip pada 2014, selepas rundingan sukar selama satu dekad. Ia merupakan kontrak terbesar Gazprom.

Syarikat itu dijangka membekal China dengan 38 bilion meter padu gas setahun apabila talian paip beroperasi sepenuhnya pada 2025.

Rusia juga merancang melancarkan tidak lama lagi dua talian paip gas yang akan menambah bekalan ke Eropah sementara memintas Ukraine. – AFP