Putin yakinkan pemimpin perniagaan Perancis

MOSCOW, 19 April – Presiden Rusia Vladimir Putin berusaha meyakinkan para pemimpin tertinggi perniagaan Perancis di Kremlin semalam apabila mereka mengadakan pertemuan ekoran penahanan beberapa pelabur besar asing.

Masyarakat perniagaan di Rusia masih terkejut dengan penahanan pelabur terkenal Amerika Syarikat, Michael Calvey dan sekutu-sekutunya termasuklah warga Perancis, Philippe Delpal, Februari lalu.

Calvey yang berdepan dakwaan penipuan berkontroversi, baru-baru ini dipindahkan dari penjara sebelum perbicaraan kepada tahanan dalam rumah, yang mana Delpal masih lagi dalam tahanan.

Putin memberitahu ahli-ahli perniagaan Perancis bahawa Rusia akan melakukan segalanya bagi para pelabur asing agar pelabur asing selesa dan memberi kerjasama bersama Rusia.

Menurutnya syarikat-syarikat Perancis di Rusia, mereka seharusnya berpuas hati dengan cara hubungan antara dua hala berkembang.

Gambar fail pada 2 November 2018 menunjukkan Presiden Cuba Miguel Diaz-Canel (kanan) berjabat tangan dengan Presiden Rusia Vladimir Putin semasa pertemuan mereka di Kremlin, Moscow. – AFP

Ketua syarikat gergasi mi-nyak, Total, Patrick Pouyanne memberitahu AFP sebelum mesyuarat bahawa dia berhasrat untuk membangkitkan topik tentang Delpal.

“Itu adalah topik yang menjadi sebahagian rangka untuk meningkatkan perniagaan. Untuk melabur, kita perlukan keyakinan,” ujarnya.

Perancis adalah salah sebuah rakan utama ekonomi Rusia dan majikan asing pertama di Rusia, di sebalik sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas Moscow kerana peranannya dalam krisis Ukraine dalam tahun 2014.

Perdagangan Perancis-Rusia menjunam selepas pihak Barat mengenakan sekatan ke atas Moscow dalam tahun 2014 kerana peranannya dalam krisis Ukraine. Moscow memberi respons dengan sekatan ke atas kebanyakan produk makanan Eropah.

Namun di sebalik sekatan itu, lebih 500 syarikat Perancis telah bekerjasama di Rusia dengan mengambil pekerja kira-kira 60,000 orang.

Perancis telah membuat pelaburan di Rusia dalam sektor tenaga. Syarikat Total merupakan kerjasama bersama Rusia Novatek dalam projek gas terbesar di Artik Rusia. – AFP