Puting beliung badai pedalaman Sydney

SYDNEY, 30 SEPT – Puting beliung membadai pedalaman barat Sydney hari ini, memusnahkan rumah dan merosakkan kawasan desa.

Ia turut merosakkan grid kuasa elektrik dan pokok berhampiran bandar Bathurst, kata biro kaji cuaca, selain mempunyai petunjuk kerosakan kira-kira  25 hingga 30 kilometer (km) dengan puting beliung itu bergerak kencang ke arah barat laut.

Gambar di tempat kejadian menunjukkan sebuah kereta musnah, struktur ranap, atap bangunan tercabut dan pokok berterbangan.

Seorang penduduk, Kathy Jones memberitahu penyiar awam ABC, dia melihat rumahnya ‘berpusing’.

“Ia memusnahkan rumah, bumbung dan semuanya berputar…semua barangan musnah, banyak benda perlu dibersihkan,” katanya.

Tiga orang dilaporkan cedera dalam kejadian itu.

Wilayah itu juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga kerana ribut petir yang dahsyat sepanjang hari.

Puting beliung adalah perkara biasa di beberapa kawasan di Australia, tetapi jarang menyebabkan kematian. – AFP