Puting beliung musnahkan lapan rumah

ALOR SETAR, 17 NOV – Sebanyak lapan buah rumah mengalami kerosakan teruk termasuk bumbung diterbangkan angin dalam kejadian puting beliung di Kampung Padang, Mukim Tajar di sini, petang semalam.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten Md Zain Baharom berkata kejadian yang berlaku kira-kira 4:30 petang itu menyebabkan lapan keluarga dengan 54 mangsa terjejas.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada pukul 6:30 petang dan bergegas ke lokasi bagi memberikan bantuan.

“Pagi ini pula kita ke lokasi bertemu penghulu mukim Tajar untuk membincangkan keperluan gotong-royong dan membantu penduduk yang terjejas kerana kebanyakan rumah musnah teruk.

“Alhamdulillah setakat ini kita dilaporkan tiada penduduk yang mengalami kecederaan dalam kejadian itu,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini. – Bernama