Monday, February 10, 2025
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    PVATM pelawa bekas tentera Sabah

    KOTA KINABALU, 29 Mei – Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) mempelawa bekas anggota tentera di Sabah agar mendaftar menyertai PVATM bagi memudahkan persatuan itu menjaga kebajikan mereka.

    Naib Presiden 4 PVATM, Zaman Bayong berkata dengan menjadi ahli, lebih mudah pelbagai jenis bantuan yang disediakan PVATM sendiri atau bantuan dari Jabatan Hal Ehwal Veteran ATM (JHEV) disalurkan kepada mereka.

    “Pada masa ini, kami mempunyai kira-kira 45,000 ahli di seluruh Sabah, termasuk bekas askar Wataniah. Jadi mana-mana bekas askar Wataniah yang belum menjadi ahli PVATM, bolehlah mendaftar,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan PVATM kepada 150 ahli persatuan itu di sini hari ini.

    Zaman yang juga Yang Dipertua PVATM Sabah percaya masih ramai bekas tentera yang belum menjadi ahli persatuan itu dan mengajak mereka segera berdaftar demi kebaikan bersama.

    Mengenai bantuan berkenaan, beliau berkata program menyerahkan bantuan kepada ahli PVATM yang memenuhi kriteria ditetapkan persatuan seperti alami ketidakupayaan  penglihatan, pendengaran, asma serta kecacatan aggota lain, merupakan aktiviti tahunan persatuan. Zaman berkata bantuan yang diperoleh daripada kutipan derma orang awam sempena Tabung Hari Pahlawan bertujuan meringankan beban bekas tentera serta waris mereka yang memerlukan.

    “PVATM mengajak rakyat Malaysia agar terus menyalurkan sumbangan kepada Tabung Hari Pahlawan. Derma mereka tidak sia-sia. Derma mereka sampai kepada veteran tentera,” katanya.

    Sementara itu, seorang penerima bantuan, Mohd Ishak Abdullah, 81, berkata beliau bersyukur kerana terpilih menerima bantuan itu, di samping menerima bantuan lain daripada pihak kerajaan.

    Mohd Ishak yang menyertai tentera sekitar tahun 1964 dan menghabiskan tempoh perkhidmatannya di negeri Johor sebelum bersara pada tahun 1975, berkata bantuan seumpama itu perlu diteruskan kepada rakan-rakan seperjuangannya pada masa-masa akan datang. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda