PWE Belait semarak awal tahun hijrah

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 6 SEPT – Sebagai sebahagian daripada aktiviti tahunan bagi memperingati Awal Tahun Baharu 1442 Hijrah, Persatuan Warga Emas (PWE) Belait telah menganjurkan majlis Maal Hijrah yang berlangsung di Dewan Pejabat Daerah Seria, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin yang dialu-alukan oleh Pengerusi PWE Belait, Haji David bin Haji Kassim.

Turut hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku penghulu Mukim Liang dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku pemangku penghulu Mukim Labi; Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Mohamad Aliyani bin Haji Ismail dan beberapa orang penghulu mukim dan ketua-ketua kampung dari kawasan sekitar.

Majlis berkenaan juga diadakan bagi meraikan ulang tahun jubli perak (ke-25 tahun) persatuan berkenaan pada 9 Ogos lalu.

Haji David dalam ucapan alu-aluannya menyatakan harapan bahawa majlis berkenaan akan berfungsi sebagai platform untuk membantu mengukuhkan lagi persatuan berkenaan tatkala mereka bermatlamat untuk terus mengendalikan lebih banyak aktiviti dan acara pada masa hadapan.

Beliau menambah, aktiviti dan acara berkenaan membantu menggalakkan penyertaan warga emas untuk terus berbakti kepada masyarakat dan negara.

Majlis diteruskan dengan ceramah yang disampaikan oleh penceramah undangan dari Pusat Dakwah Islamiah (PDI) Daerah Belait, Awang Muhammad Nasyith bin Superi yang disusuli dengan sesi soal jawab.

Majlis diakhiri dengan pengagihan bubur yang dihasilkan oleh ahli-ahli persatuan berkenaan kepada para hadirin sebagai tanda penghargaan.

Sesi ceramah disampaikan oleh Awang Muhammad Nasyith.
Awang Ramlee bersama tetamu undangan lainnya yang menghadiri majlis tersebut.