Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    PWEDB adakan sambutan 2 dalam 1

    Oleh Daniel Lim

    BELAIT, 7 MEI – Sambutan dua dalam satu Persatuan Warga Emas Daerah Belait (PWEDB) telah diadakan pada petang tadi di Kafe Kenyalang, Kelab Panaga sempena Hari Raya Aidilfitri dan Ulang Tahun ke-30 PWEDB.

    “Tempoh 30 tahun adalah satu masa yang panjang dan kami bertuah kerana dapat meneruskan projek dan aktiviti tahunan kami untuk menggalakkan kemakmuran, keharmonian dan kejayaan dalam kalangan warga emas di Daerah Belait.”

    Itulah antara ucapan pembukaan Pengerusi dan Setiausaha Agung PWEDB, Awang Mohd Yunos bin Haji Pungut semasa sambutan dua dalam satu PWEDB sempena Hari Raya Aidilfitri dan Ulang Tahun ke-30 PWEDB.

    Hadir menyaksikan sambutan tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad selaku tetamu kehormat, yang diiringi oleh ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Penghulu Mukim Bukit Sawat, Yang Berhormat Awang Salleh bin Haji Othman.

    Turut hadir ialah penghulu dan ketua kampung sekitar Daerah Belait serta lebih 90 ahli PWEDB.

    Awang Mohd Yunos bergambar ramai bersama tetamu yang hadir dan ahli PWEDB pada acara tersebut.
    Ahli-ahli PWEDB menyanyikan pelbagai lagu tradisional Hari Raya semasa acara tersebut.

    Dalam ucapan perasmian berkenaan, Awang Mohd Yunos menekankan betapa sambutan itu bukan sahaja menandakan perayaan tahunan Hari Raya Aidilfitri tetapi juga ulang tahun ke-30 persatuan tersebut.

    “Objektif aktiviti hari ini adalah membantu mengeratkan perpaduan antara warga emas daerah dalam menyambut Hari Raya dengan meriah dan sihat, di samping meraikan ulang tahun ke-30 persatuan ini,” katanya.

    Tambahnya, kejayaan persatuan itu selama ini boleh dikaitkan dengan kerjasama erat yang berterusan antara ahli mereka tanpa mengira bangsa dan agama.

    “Selain itu, kita sebagai ahli harus terus bekerjasama erat demi membantu memajukan misi dan visi persatuan dalam membantu mewujudkan persekitaran sihat di mana warga emas dapat menyumbang semula kepada masyarakat,” ujarnya.

    Beliau mengakhiri ucap-annya dengan menekankan kepentingan berbakti kepada masyarakat khususnya generasi muda kerana ia dapat membantu meningkatkan kualiti hidup dari peringkat akar umbi dalam menyokong generasi pemimpin negara.

    Selesai ucapan, acara diteruskan dengan penyampaian sijil penghargaan kepada ahli persatuan yang telah memberikan sokongan terhadap kejayaan mereka yang disampaikan oleh tetamu kehormat bagi pihak PWEDB.

    Aktiviti lain yang dijalankan sebagai sebahagian daripada sambutan itu termasuk upacara memotong kek bagi memperingati hari ulang tahun ke-30 PWEDB, diikuti dengan menjamu hidangan yang telah disediakan, serta diserikan lagi nyanyian ahi PWEDB yang membawakan pelbagai lagu tradisional Hari Raya, dan cabutan bertuah untuk memeriahkan lagi suasana perayaan pada acara tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...