PWM anjur kempen derma darah 11 Julai

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Persatuan Warganegara Malaysia (PWM) akan mengadakan Kempen Menderma Darah PWM pada 11 Julai bermula dari pukul 9 pagi hingga 1 petang di Traders Inn.

Kempen menderma darah berkenaan merupakan salah satu daripada aktiviti yang dianjurkan oleh persatuan dengan hasrat untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim dalam kalangan warganegara Malaysia yang menetap di Brunei dengan masyarakat negara ini.

Menurut persatuan berkenaan, sambutan bagi kempen yang diadakan terdahulu adalah amat menggalakkan yang mana ia menyaksikan penyertaan daripada pelbagai masyarakat dalam sama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

Semasa kempen itu, seorang ahli sepanjang hayat PWM, Low Tong Wah, yang telah menderma darah lebih 140 kali, juga akan turut menderma darah pada majlis berkenaan.

Dengan Negara Brunei Darussalam terus berusaha menangani penularan wabak COVID-19, pihak penganjur menyeru semua penderma darah untuk membuat tempahan dengan menghubungi Naib Presiden PWM, Simon Leong.

Sejak pengumuman mengenai kempen menderma darah berkenaan, PWM telah mencatatkan seramai 50 orang penderma darah membuat tempahan serta mengesahkan penyertaan mereka dalam kempen berkenaan.

PWM mengajak warga Malaysia di negara ini bersama-sama menderma darah pada 11 Julai ini. – Gambar fail oleh Muiz Matdani