PWM anjur kempen derma darah 11 Julai

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Dalam usaha untuk menghulurkan khidmat bakti, membantu mereka yang memerlukan serta untuk menyahut seruan bagi menambah simpanan darah, Persatuan Warganegara Malaysia (PWM) akan mengadakan Kegiatan Amal Menderma Darah pada 11 Julai di Trader’s Inn, Jalan Gadong.

Kempen anjuran PWM dengan kerjasama Pusat Pendermaan Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha itu akan bermula jam 9 pagi hingga 1 petang dan mengalu-alukan penyertaan ahli-ahli persatuan serta orang ramai di mana ia merupakan salah satu projek kebajikan persatuan tersebut.

Kegiatan amal itu adalah sebagai sebahagian daripada sumbangan khidmat bakti kepada masyarakat dan tanggungjawab sosial korporat yang telah diadakan oleh persatuan itu bagi tempoh lebih 15 tahun.

Sehubungan dengan itu, persatuan mengalu-alukan mereka yang berminat untuk sama-sama menyertai dan menjayakan kempen itu dengan membuat tempahan bagi slot masa untuk menderma darah yang mana hanya 15 orang penderma sahaja dibenarkan pada satu-satu masa bagi mengamalkan penjarakan sosial dalam menangani penularan wabak COVID-19 ketika ini.