Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Julai – Dalam usaha untuk menghulurkan khidmat bakti, membantu mereka yang memerlukan serta untuk menyahut seruan bagi menambah simpanan darah, Persatuan Warganegara Malaysia (PWM) telah mengadakan Kegiatan Amal Menderma Darah dengan kerjasama Pusat Menderma Darah, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) yang berlangsung di Trader’s Inn, Jalan Gadong, hari ini.
Kempen menderma darah itu disertai oleh ahli-ahli persatuan di mana ia merupakan salah satu projek kebajikan persatuan dan untuk membantu menambah jumlah simpanan darah.
Kempen itu turut menyaksikan Presiden PWM, James Lee menderma darah dan kempen yang bermula dari pukul 9:30 pagi hingga 2 petang yang menyaksikan lebih daripada 50 orang hadir untuk mendermakan darah semasa kempen berkenaan.
Menurut James Lee, kegiatan amal itu adalah sebagai sebahagian daripada kegiatan untuk menyumbangkan khidmat bakti kepada masyarakat dan tanggungjawab sosial korporat mereka yang telah diadakan oleh persatuan itu bagi tempoh lebih 15 tahun.
