Pyongyang ancam batal sidang 12 Jun

SEOUL, 16 Mei – Korea Utara hari ini mengugut akan membatalkan sidang kemuncak di antara pemimpin Kim Jong Un dan Presiden Donald Trump jika Washington hanya mendesak Pyongyang melucutkan senjata nuklearnya.

Ia juga membatalkan rundingan peringkat tinggi dijangka diadakan pada hari ini dengan Seoul berhubung latihan tentera bersama Max Thunder yang sedang dijalankan di antara Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan, mengecam latihan sebagai ‘provokasi zalim’.

Ia merupakan satu perubahan mendadak dan dramatik kepada retorik lampau oleh Pyongyang, selepas usaha perdamaian diplomatik berbulan-bulan lamanya di semenanjung.

“Jika AS cuba membuatkan kami tersepit untuk memaksa kami meninggalkan senjata nuklear, kami tidak akan berminat dalam dialog sedemikian,” kata timbalan menteri luar pertama Kim Kye Gwan dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh media negeri.

Seorang lelaki berjalan melintasi televisyen yang menyiarkan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un dan Presiden AS, Donald Trump di sebuah stesen kereta api di Seoul. – AFP

Dalam kes itu, tambahnya, Pyongyang terpaksa ‘menimbang semula’ penyertaannya pada sidang kemuncak, dijangka diadakan di Singapura pada 12 Jun.

Senjata Utara dijangka menjadi agenda utama dalam rundingan bersejarah, tetapi Pyongyang telah lama menegaskan ia memerlukan senjata untuk mempertahankan dirinya terhadap serangan AS.

Washington sedang mendesak pelucutan senjata sepenuhnya. Namun setakat ini Utara masih belum memberikan sebarang petunjuk awam tentang konsesi yang sedang ditawarkan, selain daripada komitmen untuk melucutkan senjata nuklear di ‘semenanjung Korea’.

Pyongyang telah “menjelaskan beberapa kali bahawa prasyarat untuk pelucutan senjata adalah menamatkan dasar anti-Korea Utara, ancaman nuklear dan peras ugut dari AS,” kata menteri Kim. – AFP