Pyongyang ingin singkir Pompeo

SEOUL, 18 April – Korea Utara hari ini menuntut penyingkiran Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo daripada rundingan nuklear gagal antara Pyongyang dan Washington, menuduh beliau sengaja melengahkan perbincangan keduanya.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Amerika dalam Kementerian Luar Korea Utara, Kwon Jong Gun berkata, pihaknya bimbang jika Pompeo terbabit dalam rundingan sekali lagi, meja rundingan akan menjadi tidak berguna dan perbincangan akan tersekat.

“Justeru, dalam kes meneruskan semula dialog dengan AS, saya berharap rakan dialog bukan Pompeo namun individu lain yang lebih berhati-hati dan matang dalam berkomunikasi dengan kami,” kata Jong Gun dipetik agensi berita rasmi KCNA.

Komen itu dikeluarkan beberapa jam selepas Pyongyang mengumumkan pelepasan ujian senjata baharu taktikal dengan ‘kepala peledak berkuasa’ kali pertama ujian seperti itu dilakukan sejak rundingan nuklear dengan Washington terhenti.

Ujian itu menandakan ketegangan meningkat beberapa minggu selepas pertemuan antara Jong-un dan Presiden Donald Trump gagal tanpa sebarang perjanjian.

Jong Gun juga memberi amaran, jika AS tidak ‘menyingkirkan punca masalah’ yang menjurus Pyongyang memperoleh senjata nuklear, ‘tiada siapa dapat meramalkan situasi di Semenanjung Korea.’ Namun beliau menambah, agak bernasib baik Jong-un dan Trump masih berbaik seperti biasa walaupun rundingan nuklear menemui jalan buntu. – AFP

Kementerian Luar Korea Utara mengatakan ia ingin menyingkirkan Setiausaha Negara AS Mike Pompeo (kanan) daripada rundingan nuklear gagal antara Pyongyang dan Washington, menuduh beliau sengaja melengahkan perbincangan keduanya. – AFP