Saturday, April 20, 2024
24 C
Brunei

    -

    Qadha’: Adakah satu pilihan untuk meninggalkan sembahyang?

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Kedua

    Adapun meninggalkan sembahyang tanpa uzur syar‘i atau meninggalkannya dengan senghaja seperti melalaikannya sehingga masuk waktu yang lain adalah berdosa dan wajib baginya mengqadha’ dengan segera sembahyang yang luput itu.

    Sibuk dengan apa urusan sekalipun bukanlah alasan untuk meninggalkan sembahyang sehingga luput waktu, begitu juga dengan alasan tidak dapat melakukan sembahyang kerana tidak mampu untuk berdiri atau rukuk atau lain-lain alasan kerana sakit.

    Sakit tidaklah termasuk antara sebab-sebab yang membolehkan seseorang itu tidak menunaikan sembahyang sebagaimana yang diriwayatkan daripada ‘Imran bin Hushain Radhiallahu ‘anhu, beliauberkata yang maksudnya:

    Aku menghidap buasir, maka aku bertanya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang sembahyang.

    Maka Baginda bersabda: “Sembahyanglah berdiri, dan jika engkau tidak mampu, maka duduklah, dan jika engkau tidak mampu, maka sembahyanglah dengan mengiring”.
    (Hadits riwayat al-Bukhari)

    Akibat orang yang meninggalkan sembahyang

    Perbuatan senghaja meninggalkan sembahyang itu, menurut sesetengah ulama boleh menjadikan seseorang itu dihukumkan kafir, berdasarkan zahir sabda Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang diriwayatkan daripada Buraidah Radhiallahu ‘anhu yang maksudnya:

    Sesungguhnya perjanjian di antara kami dan mereka (orang kafir) ialah sembahyang, maka sesiapa yang meninggalkan sembahyang maka sesungguhnya dia kafir.
    (Hadits riwayat an-Nasa’i dan at- Tarmidzi)

    Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya: Allah Subhanahu wa Ta‘ala berfirman:

    Aku telah memfardhukan ke atas umatmu (wahai Muhammad) sembahyang lima waktu, seraya Aku berjanji pada diriKu suatu perjanjian, bahawasanya sesiapa yang memeliharanya tepat pada waktunya, akan Aku masukkannya ke dalam syurga. Dan sesiapa yang tidak memeliharanya, maka tiadalah perjanjian apa-apa daripada Aku baginya.
    (Hadits riwayat Abu Daud)

    Namun akibat yang sudah pasti meninggalkan sembahyang itu adalah suatu dosa besar. Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    Maka celakalah orang-orang bersembahyang. (Iaitu) mereka yang lalai terhadap sembahyang mereka.
    (Surah al-Ma‘un: 4-5)

    Dalam ayat lain, Allah Subhanahu wa Ta‘ala menjelaskan tentang balasan neraka bagi orang-orang yang senghaja tidak mengerjakan sembahyang sebagaimana firmanNya yang tafsirnya:

    (Mereka berkata): “Apakah yang menyebabkan kamu masuk ke dalam neraka (Saqar)?” Orang-orang yang berdosa itu berkata: “Kami tidak termasuk dalam golongan yang mendirikan sembahyang”.
    (Surah al-Muddatstsir: 42-43)

    Daripada sahabat, Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    Sesiapa yang meninggalkan sembahyang, dia akan menemui Allah dalam keadaan dia dimurkai (oleh Allah).
    (Hadits riwayat ath-Thabarani)

    Masih banyak lagi nash-nash al-Qur’an dan hadits Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam yang berupa perintah untuk mendirikan sembahyang dan peringatan-peringatan terhadap mereka yang melalaikannya sehingga berlalu waktu sembahyang.

    Sembahyang di awal waktu

    Sebagai langkah menghindar diri daripada terlepas menunaikan kewajipan sembahyang, maka tunaikanlah sembahyang itu di awal waktunya. Menunaikan sembahyang di awal waktunya itu adalah kerja yang afdhal (lebih utama).

    Ummu Farwah Radhiallahu ‘anha ada meriwayatkan yang maksudnya:

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam pernah ditanyakan: Apakah perbuatan-perbuatan yang lebih utama? Baginda bersabda: Sembahyang pada awal waktunya.
    (Hadits riwayat Abu Daud)

    Berdasarkan hadits di atas, sembahyang pada awal waktunya adalah satu anjuran daripada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam dengan tujuan untuk memperolehi fadhilatnya di samping mengelak daripada kelalaian sehingga berlalunya waktu sembahyang. Walau bagaimanapun jika seseorang itu mengakhirkan sembahyang kerana sesuatu sebab, maka hendaklah dia sentiasa berniat serta berazam akan menunaikannya dalam waktunya.

    Dalam hal ini, as-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani Rahimahullah menjelaskan bahawa sebaik saja masuk waktu sembahyang fardhu hendaklah dilakukan salah satu daripada dua perkara, sama ada dengan melakukannya terus (sembahyang) atau berazam melakukannya dalam waktunya. Maka jika dia tidak terus melakukannya dan juga tidak berazam untuk melakukannya (dalam waktunya), maka dia berdosa.

    Ditegaskan sekali lagi, bahawa menjaga sembahyang fardhu lima waktu adalah perkara yang sangat dituntut oleh agama sementara mencuaikannya akan membawa kepada balasan serta azab yang amat besar daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala. Bagi mereka yang mencuaikan atau melalai-lalaikan sembahyang hingga luput waktunya adalah wajib mengqadha’ setiap sembahyang yang ditinggalkannya. Tidak cukup dengan itu sahaja, malahan dia wajib bertaubat kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana perbuatannya meninggalkan sembahyang fardhu dengan senghaja itu.

    Para ulama berkata: Taubat itu wajib dari segala dosa.

    Jika dosa dan maksiat itu berlaku di antara hamba dengan Allah dan tiada berhubung dengan hak manusia, maka baginya tiga syarat iaitu hendaklah dia keluar (berhenti) dari dosa itu; hendaklah dia menyesal di atas perbuatannya; dan berazam tidak akan kembali mengerjakan dosa itu selama-lamanya.

    Jika tiada ada satu dari tiga syarat itu, maka tiadalah sah taubatnya itu.

    Mengqadha’ sembahyang bukanlah satu pilihan untuk seseorang itu meninggalkannya dengan senghaja atau dengan apa jua alasan sekalipun atau berniat akan melakukannya kemudian pada waktu yang terdekat, umpamanya sembahyang Maghrib akan dilakukannya pada waktu ‘Isya’ atau waktu Zhuhur akan dilakukan pula pada waktu ‘Ashar. Dalam keadaan seumpama ini tetaplah dia berdosa dan yang paling menakutkan, ada ulama yang mengkafirkannya kerana adanya hadits yang menunjukkan sedemikian.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...