Tuesday, April 23, 2024
25.8 C
Brunei

    -

    Qadha’: Adakah satu pilihan untuk meninggalkan sembahyang?

    (Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

    Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

    Siri Satu

    Sembahyang fardhu merupakan satu kewajipan yang amat dituntut dalam Islam.

    Ia adalah amal perbuatan yang pertama sekali akan dihisab oleh Allah terhadap hambaNya di akhirat kelak, kemudian diikuti oleh perhitungan amal-amal yang lain.

    Ia bukan hanya merupakan satu perintah daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala semata-mata tetapi ia adalah satu ibadat yang terkandung di dalamnya bermacam-macam hikmah dan kebaikan.

    Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menetapkan sembahyang fardhu lima waktu dan setiap satu mempunyai waktu-waktunya tersendiri sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala yang tafsirnya:

    “Sesungguhnya sembahyang itu ialah satu kewajipan ke atas orang-orang yang beriman yang ditentukan waktunya.”
    (Surah an-Nisaa: 103)

    Daripada Ibnu ‘Abbas Radhiallahu ‘anhuma, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Mu’az bin Jabal Radhiallahu ‘anhu ketika beliau diutus oleh Baginda ke Negeri Yaman yang maksudnya:

    “Khabarkan kepada mereka sesungguhnya Allah Ta’ala telah memfardhukan ke atas mereka sembahyang lima waktu pada tiap-tiap siang dan malam.”
    (Hadits riwayat al-Bukhari dan Muslim)

    Sembahyang fardhu lima waktu wajib dikerjakan secara tunai kecuali jika ada keuzuran dari segi syara‘. Ia juga perlu dijaga dengan menyempurnakan segala perkara wajib dan sunat dalam sembahyang.

    Namun masih terdapat di kalangan umat Islam yang kurang menjaga ketepatan waktu sembahyang fardhu sebagaimana yang ditetapkan oleh syara‘ kerana beralasan bahawa mereka akan dapat melakukannya kemudian.

    Golongan seumpama inilah yang menganggap bahawa qadha’ adalah pilihan dalam melakukan ibadat sembahyang.

    Pengertian Qadha’ dalam Konteks Ibadat

    Menurut hukum syara‘, setiap sembahyang fardhu yang ditinggalkan wajib diqadha’ sama ada disebabkan lupa, tidur atau orang yang kembali semula kepada Islam setelah murtad.

    Dari segi istilah fuqaha’, qadha’ ialah sesuatu (ibadat) yang dilakukan selepas berlalu waktu tunainya untuk menda-patkan sebagaimana yang sebelumnya dengan melakukannya secara qadha’ atau mengerjakan semula ibadat-ibadat yang tidak sah, atau yang tertinggal atau senghaja ditinggalkan pada waktu-waktu yang lain.

    Daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang maksudnya:

    “Jika tertidur seseorang daripada kamu sehingga tertinggal sembahyangnya ataupun terlupa mengerjakannya, maka hendaklah dia mendirikan sembahyang yang tertinggal itu apabila dia sudah teringat, sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta’ala telah berfirman:“Dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku.” (Hadits riwayat Muslim)

    Hukum harus mengqadha’ sembahyang itu bukanlah sebagai satu kelonggaran yang membolehkan seseorang itu meninggalkannya dengan senghaja sehingga luput waktunya walaupun berhasrat untuk mengqadha’nya pada waktu yang lain.

    Anggapan bahawa meninggalkan sembahyang dengan senghaja dan boleh menggantinya pada waktu yang lain asal saja kewajipan itu tidak terus ditinggalkan atau dilupakan adalah satu anggapan yang salah.

    Meninggalkan Sembahyang Fardhu

    Orang yang meninggalkan sembahyang tetapi tidak ingkar akan kewajipannya kadang-kadang disebabkan oleh keuzuran yang diiktiraf oleh syara‘.

    Kadang-kadang pula disebabkan oleh alasan yang bukan syar‘i dan inilah yang sering berlaku.

    Sebab-sebab meninggalkan sembahyang itu boleh dibahagikan kepada dua bentuk yang masing-masing ada kaitan dengan hukum, iaitu:

    Pertama: Meninggalkan sembahyang kerana keuzuran. Orang seperti ini tidaklah berdosa kerana terluput waktu sembahyang bukan dengan kehendak atau kelalaiannya, akan tetapi wajib ke atasnya mengqadha’ sembahyang yang luput itu dan sunat disegerakan qadha’nya.

    Kedua: Meninggalkan sembahyang tanpa ada keuzuran seperti malas atau melalai-lalaikan sehingga luput waktunya. Orang seperti ini dihukumkan berdosa tanpa diragukan lagi.

    Contoh meninggalkan sembahyang kerana keuzuran atau tanpa disenghajakan itu seperti tertidur, terlupa dan seumpamanya sehingga luput waktu. Namun apabila terbangun daripada tidur atau teringat daripada lupa, dia wajib melakukan sembahyang tersebut kerana kewajipan sembahyang masih lagi ditanggungnya.

    Dalam sebuah hadits shahih, Abu Qatadah Radhiallahu ‘anhu menceritakan mengenai dengan perjalanan mereka bersama Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam.

    Dalam perjalanan itu mereka keletihan lantas tertidur. Apabila mereka terbangun daripada tidur waktu sembahyang sudah pun berlalu.

    Mereka bertanya sesama sendiri, apakah kaffarah yang mesti dibayar atas kelengahan mereka melakukan sembahyang.

    Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mendengar bisikan mereka lantas bersabda yang maksudnya:

    “Sesungguhnya di dalam tidur tidak ada kelalaian. Sesungguhnya kelalaian itu ke atas seseorang yang tidak melakukan sembahyang sampai habis waktunya. Maka sesiapa yang melakukan demikian, segeralah dia sembahyang ketika dia ingat akannya. Maka pada hari esoknya hendaklah dia menunaikan sembahyang ketika waktunya.”
    (Hadits riwayat Muslim)

    Walaupun terdapat pengecualian dalam melaksanakan tanggungjawab sembahyang bagi orang yang sedang tidur, ini bukanlah bermakna seseorang itu boleh dengan sengaja tidur untuk mengelak atau mencari helah daripada melakukan sembahyang pada waktunya.

    As-Sayyid Muhammad Abdullah al-Jurdani Rahi-mahullah dalam kitabnya Fath al-‘Allam ketika bercakap mengenai tidur dan hubungannya dengan sembahyang, beliau menyatakan adalah harus tetapi tidak digalakkan tidur selepas masuk waktu sembahyang dan sebelum menunaikan sembahyang, jika mengikut sangkaannya bahawa dia akan bangun dari tidurnya, sama ada bangun dengan sendirinya atau dikejutkan oleh orang lain, dan masih ada waktu untuk dia menunaikan sembahyang. Jika tidak, maka hukumnya adalah haram.

    Bahkan bagi nya dua dosa; dosa kerana meninggalkan sembahyang dan dosa kerana tidur.

    Maka jika dia bangun daripada tidur (sebelum tidur dia menyangka jika bangun daripada tidur tidak ada waktu baginya untuk menunaikan sembahyang) tetapi dia sempat mengerjakan sembahyang, maka terangkat dosa meninggalkan sembahyang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sekumpulan gempa bumi gegarkan Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Sekumpulan gempa bumi melanda Taiwan pada awal hari ini, yang paling kuat mempunyai magnitud 6.1, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat...