QAF Auto lancar model BMW M3, M4

Oleh Yusrin Junaidi
Gambar oleh Bahiyah Bakir

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 JULAI – QAF Auto selaku pengimport dan pengedar tunggal kenderaan BMW di Negara Brunei Darussalam, malam ini menjemput pelanggan dan peminat BMW untuk menyaksikan pelancaran kereta ikonik M Powerhouse iaitu BMW M3 dan M4 competition semasa pameran BMW M Town di Bilik Pameran QAF Auto, Perindustrian Beribi.

Hadir bagi menyaksikan majlis pelancaran tersebut ialah Yang Amat Mulia Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini, Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Mu’min dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan QAF Brunei, Albert Lau.

Sementara itu, Pengurus Besar QAF Auto, Alisa Khoo meluahkan rasa gembira untuk mempamerkan yang terbaik bagi pelanggan dengan menawarkan kereta unggul model M iaitu M3 dan M4.

Beliau turut menambah bahawa M Weekend akan memberikan pengunjung peluang untuk menyaksikan sendiri kereta sport berprestasi tinggi untuk pertama kali.

Model-model kenderaan tersebut ujar beliau, telah mendapat perhatian ramai dan mempelawa para pengunjung ke pameran tersebut untuk melihat kereta-kereta berkenaan dengan lebih dekat.

YAM Pengiran Anak Haji Muhammad Ruzaini, YAM Pengiran Muda Abdul Mu’min dan Albert Lau semasa menghadiri majlis tersebut.
Model BMW M4 yang dipamerkan semasa majlis tersebut.

Sebahagian daripada aktiviti hujung minggu, para tetamu juga dapat menyaksikan barisan BMW yang terbaharu iaitu model BMW 1 Series  hingga BMW 8 Series dan BMW X yang terkenal dengan ciri lasak semasa M Weekend.

Di samping itu, para tetamu juga boleh mendapatkan pelbagai jenis koleksi BMW Lifestyle Collection sebagai hadiah.

Menyentuh mengenai dengan kedua-dua buah kereta yang dilancarkan, M3 dan M4, kedua-dua model berkenaan didatangkan dengan rekaan gril mendatar.

Selain itu, kedua-dua model baharu tersebut mempunyai penampilan bampar lebih agresif serta lampu hadapan yang kelihatan garang.

Bahagian belakang pula dilengkapi dengan sistem ekzos berkembar dan diffuser.

BMW M3 sedan dan M4 coupe tersebut dilengkapi enjin enam silinder 3.0 liter turbo berkembar.

Bagi penggemar kereta berkuasa tinggi boleh mendapatkan spesifikasi Competition yang mempunyai janaan kuasa maksimum 510PS dan 650Nm. Ini dipadankan dengan kotak gear DCT lapan kelajuan dengan pacuan roda belakang ataupun pacuan semua roda yang boleh dipilih.

Kereta tersebut mampu memecut dari 0 hingga 100 kmsj dalam masa 3.9 saat.

Mengenai sistem kawalan pacuan pula, model BMW M3 Competition dan BMW M4 Competition dengan M xDrive – sistem pacuan semua roda pintar yang hanya menghantar kuasa ke keempat-empat roda apabila perlu.

Dalam kebanyakan kes, kereta masih berfungsi seperti kereta M roda belakang dan Sistem M xDrive didatangkan bersama dengan Active M Differential.

Sistem M xDrive menggunakan klac multi-plate dalam casing pemindahan untuk pembahagian tork pemacu yang berubah-ubah antara roda depan dan belakang.

Model M3 dan M4 standard didorong roda belakang, maka drive shaft di sini adalah unik untuk roda belakang.