Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Sept – QAF Auto selaku pengedar tunggal BMW di Negara Brunei Darussalam, malam tadi, telah melancarkan Program Rakan Pilihan BMW (BMW Preferred Partner Programme) di Restoran Li Gong, Empire Hotel & Country Club, Jerudong.
Acara tersebut dihadiri lebih 100 orang tetamu terdiri daripada rakan kongsi dan pelanggan QAF Auto Sdn Bhd.
Program tersebut direka khas bagi pelanggan korporat yang menawarkan mereka perkhidmatan dan manfaat eksklusif.
Pengurus Besar QAF Auto Sdn Bhd, Sivakumar Krishnan dalam ucapannya berkata, pelancaran program tersebut akan meningkatkan pengalaman pemilik sedia ada dan pelanggan korporat BMW pada masa depan.


“Program ini memberi pelanggan ketenangan yang lebih baik dan pengalaman memiliki BMW. Ia melayakkan pelanggan kami nilai pada masa hadapan dengan pembelian kereta BMW melalui program ini,” ujarnya.
Program dibukakan kepada pelanggan termasuk pengarah syarikat, isteri-isteri pengarah dan ahli kakitangan syarikat sebagai inovasi membolehkan pelanggan diberi layanan terbaik dengan produk dinamik dalam segmen automotif premium.
Majlis pelancaran berkenaan telah diadakan dengan kerjasama rakan korporat Sejalin Enterprise, selaku pengedar rasmi jenama Bang & Olufsen yang menaja peralatan audio dan visual serta hadiah-hadiah utama cabutan bertuah.