QAF Auto rangkul hadiah

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 April – Buat pertama kali sejak dilantik sebagai pengimport dan pengedar tunggal kenderaan BMW di negara ini, QAF Auto Sdn Bhd telah dianugerahkan ‘Best Retailer in Customer Care’ dalam Pertandingan Jualan tahun 2017 bagi pengimport jenama BMW di rantau Asia Pasifik.

Selain itu, QAF Auto turut dianugerahkan ‘Best Customer Satisfaction Service Performance in Aftersales’ dan juga ‘Best Performance 2017 in Aftersales’ atas peningkatan ketara dalam perkhidmatan pelanggan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Anugerah tersebut telah disampaikan dalam satu majlis sempena Persidangan Peniaga Selepas Jualan Serantau yang diadakan di Bangkok, Thailand pada bulan Mac lepas.

“Pelanggan adalah keutamaan kami dan pada tahun 2017, moto kami adalah ‘Kepuasan Anda adalah Komitmen Kami’,” jelas Pengurus Besar QAF Auto, Sivakumar Krishnan.

Sivakumar Krishnan dalam sidang media yang diadakan di QAF Auto, Beribi, Jumaat lalu menjelaskan bahawa setelah mempertingkatkan mutu perkhidmatan dalam pengalaman pelanggan, mereka telah memperoleh peratusan yang meningkat dari segi kaji selidik, di mana mereka mencapai 85 peratus pada tahun 2017 berbanding 65 peratus pada tahun sebelumnya.

(Dari kiri) Ketua Khidmat Selepas Jualan, Pengiran Shahrulzaman bin PHA Rahman; Sivakumar Krishnan; Pengarah Urusan Kumpulan BMW Asia, Paul de Courtois dan Pengarah Selepas Jualan Kumpulan BMW Asia, Lee Hwee Siong bergambar ramai selepas menerima anugerah di Bangkok, bulan lepas.
Sivakumar Krishnan dan Pengiran Shahrulzaman ketika sidang media, baru-baru ini.

“Kami telah melaksanakan kejurulatihan prestasi untuk pasukan pengurusan, memberi tumpuan kepada peningkatan kemahiran untuk pasukan jualan dalam khidmat terpilih dan peningkatan dalam ‘touchpoint’ pelanggan bagi memastikan kami sentiasa mengetahui apa yang diperlukan dan dikehendaki oleh pelanggan.

“Terima kasih kepada pelanggan kerana telah menyokong kami. Anugerah yang kami terima ini menjadi bukti terhadap kerja keras kami terutama Pasukan QAF Auto,” kata Sivakumar.

“Walaupun QAF Auto berdepan banyak cabaran, namun kami akan terus berusaha untuk berada di atas dalam segmen premium,” tambah Sivakumar.

Selain itu, Sivakumar juga menekankan bahawa tahun ini, mereka akan berusaha untuk bergerak lebih jauh ke hadapan dan tidak akan berkompromi dalam menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada pelanggan.

“Kami sedang mengubah suai bilik pameran supaya mesra pelanggan dan mesra keluarga. Kami juga mahu membuat perbezaan dalam tahap perkhidmatan yang akan terus menjadi keutamaan kami. Kakitangan dan pengurusan kami sentiasa diberikan latihan kecekapan untuk memastikan kualiti perkhidmatan terbaik dapat dikekalkan,” tambah beliau.