Oleh Pg Fairol RMF
BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Ogos – Sempena dengan Sambutan Ulang Tahun ke-20 QAF Auto Sdn Bhd tahun lalu, syarikat tersebut mengumumkan bahawa pelanggan yang membeli kereta BMW pada masa ini akan menikmati lima tahun BMW Service Inclusive Plus atau 100,000km, yang mana terdahulu.
Pengurus Besar BMW, Sivakumar Krishnan menjelaskan, dengan slogan ‘Kepuasan Anda, Komitmen Kami’, selama lima tahun dari mula membeli kereta, syarikat mereka akan memberi perkhidmatan penyelenggaraan sepenuhnya secara percuma mengikut jadual pelanggan.
Ini bermakna pelanggan hanya perlu membawa kereta ke QAF Auto Sdn Bhd dan membawa balik tanpa membayar apa pun. Setentunya kesemua ini untuk memberi kepuasan kepada pelanggan setia mereka.
“Awda boleh membeli sebuah kereta BMW pada harga di bawah $50,000 dan akan mendapatkan perkhidmatan nilai tambah tersebut secara percuma,” ujarnya lagi.
Pakej BMW Service Inclusive Plus merangkumi servis minyak enjin, pemeriksaan kenderaan dan skop standard, perkhidmatan dan penggantian penapis udara, penapis bahan api (fuel filter), penapis mikro, ‘spark plugs’ dan bendalir brek.
Pakej juga terdiri daripada penukaran peralatan yang haus dan lusuh seperti penggantian pada brek depan dan belakang, cakera brek depan dan belakang, penggantian klac dan penggantian bilah pengelap (semasa servis minyak enjin).
Antara manfaat BMW Service Inclusive Plus, pelanggan akan mendapat ketenangan fikiran dan perlindungan, selain itu menikmati keseronokan memandu sehingga ke tahap yang sepenuhnya.
Selama lima tahun, pelanggan tidak perlu membuang masa memikirkan kos penyelenggaraan untuk kenderaan yang dikendalikan dengan kepakaran juruteknik BMW.
Kos perkhidmatan berjadual pelanggan dilindungi dengan penggunaan alat ganti BMW asli.
Malah jika pelanggan ingin menjual BMW mereka, pakej BMW Service Inclusive Plus secara automatik dipindahkan ke pemilik seterusnya, dengan itu berpotensi meningkatkan nilai jualan semula kereta berkenaan.