QAF Brunei teruskan inisiatif di hospital PMMPMHAMB

Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Bahyiah Bakir

TUTONG, 16 APRIL – Kumpulan QAF Brunei yang diwakili oleh kakitangan pengurusan kanannya telah menyerahkan 300 bungkus makanan dan minuman untuk makan tengah hari bagi para kakitangan perubatan yang bertugas di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong, hari ini, sebagai tanda penghargaan atas sumbangan dan bakti mereka ketika negara berhadapan dengan penularan wabak COVID-19.

Penyampaian sumbangan berkenaan adalah susulan daripada inisiatif yang telah bermula 13 April lalu hingga kelmarin di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) dan pengagihan sumbangan di Hospital PMMPMHAMB akan dijalankan sehingga 18 April.

Trak makanan Ben Foods telah menghantar sebanyak 400 bungkusan makanan dan minuman setiap hari yang disediakan khas oleh Restoran Millenium bagi para petugas barisan hadapan di Hospital RIPAS dan sebanyak 300 bungkusan makanan dan minuman tengah hari sehari akan diagihkan selama tiga hari di Hospital PMMPMHAMB.

Pada masa yang mencabar bagi Brunei dan seluruh dunia ketika ini, adalah penting bagi Kumpulan QAF Brunei untuk menghargai segala jerih payah dan usaha serta sumbangan yang diberikan para petugas barisan hadapan selain menjadi lambang dan tanda penghargaan kepada mereka, jelas Ketua Pegawai Eksekutif QAF Brunei Group, Albert Lau.

Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital PMMPMHAMB, Awang Abdul Muiz bin Haji Ibrahim ketika ditemui turut mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kumpulan QAF Brunei atas sumbangan makanan dan minuman tengah hari yang diberikan kepada mereka dan seluruh pasukan barisan hadapan dan yang terlibat dalam usaha menangani COVID-19 di hospital berkenaan.

Beliau turut menjelaskan bahawa dengan sumbangan yang diberikan selama tiga hari berturut-turut berkenaan sedikit sebanyak turut membantu para yang bertugas menjadi lebih bersemangat dan menjadi pendorong semangat kepada mereka semasa menjalankan tugas dan tanggungjawab.

Gambar ramai kakitangan pengurusan kanan Kumpulan QAF Brunei dan petugas barisan hadapan Hospital PMMPMHAMB semasa penyampaian sumbangan, kelmarin.
Kumpulan QAF Brunei menyumbangkan 300 bungkus makanan dan minuman sehari bagi tempoh tiga hari untuk petugas barisan hadapan di Hospital PMMPMHAMB, Tutong.
Kakitangan Ben Foods menurunkan bungkusan makanan yang disumbangkan Kumpulan QAF Brunei.