QAF sumbang makanan kepada petugas di hospital Tutong, NIC

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Kumpulan QAF Brunei, hari ini, telah menyampaikan lagi sumbangan kepada petugas barisan depan yang bertungkus-lumus melindungi Brunei.

Kira-kira 300 hidangan bersama 300 botol air mineral telah diagihkan kepada petugas barisan hadapan di Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB), Tutong.

Ketua Korporat, Kumpulan QAF Brunei, Haji Masri bin Haji Hamzah telah menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Hospital PMMPMHAMB, Awang Abdul Muiz bin Haji Ibrahim.

Awang Abdul Muiz menyampaikan ucapan terima kasih kepada Kumpulan QAF Brunei bagi sumbangan berkenaan.

“Kami mengalu-alukan sumbangan bagi petugas barisan hadapan yang berusaha sedaya upaya untuk melindungi para pesakit,” katanya.

Makanan berkenaan diagihkan kepada para petugas barusan hadapan di Pusat Pengasingan Kebangsaan (NIC), di bangunan tambahan NIC dan Hospital PMMPMHAMB.

Sumbangan serupa juga akan diadakan esok untuk petugas barisan hadapan di hospital berkenaan.

Haji Masri bergambar ramai bersama Awang Abdul Muiz dan petugas barisan hadapan di hospital berkenaan.
Kira-kira 300 pek makanan dan minuman disumbangkan untuk petugas barisan hadapan di Hospital PMMPMHAMB dan NIC. – Gambar oleh Azlan Othman