Qantas catat kerugian lebih AS$1 bilion

SYDNEY, 26 OGOS – Syarikat penerbangan Australia Qantas hari ini mencatat kerugian tahunan berjumlah lebih daripada AS$1 bilion, selepas apa yang disifatkannya sebagai tahun ‘paling buruk’ berpunca daripada sekatan perjalanan.

Syarikat itu melaporkan kerugian sebelum cukai berjumlah AS$1.33 bi-lion untuk 12 bulan sehingga 30 Jun, meningkat kepada AS$1.7 bilion termasuk kos sekali gus seperti bayaran pekerja lebihan dan pembiayaan pesawat udara.

Keputusan itu keluar di samping kerugian sebelum cukai berkanun berjumlah AS$2 bilion yang dilaporkan dalam tahun kewangan sebelumnya, apabila syarikat penerbangan di seluruh dunia terkesan akibat pandemik koronavirus.

Ketua Pegawai Eksekutif Qantas, Alan Joyce meramalkan pendapatan syarikat akan merosot lebih daripada AS$14.5 bilion pada akhir 2021 akibat COVID-19.

“Kerugian ini menunjukkan kesan penutupan sempadan antarabangsa sepanjang tahun dan lebih daripada 330 hari sekatan perjalanan domestik ke atas syarikat penerbangan,” kata beliau dalam satu kenyataan.

“Keadaan perniagaan secara terus-terang adalah amat teruk.”

Syarikat penerbangan berkata tempoh sempadan dibuka di Australia pada awal 2021 telah merangsang pendapatan, tetapi pengembalian kepada sekatan selepas wabak varian Delta yang berpanjangan di Sydney telah memaksa pembatalan penerbangan secara meluas.

Selain ribuan juruterbang dan kru kabin yang diberhentikan pada 2020, Qantas baru-baru ini mengumumkan 2,500 lagi kakitangan akan diberhentikan sebagai respons kepada wabak terbaharu. – AFP

Penumpang tiba di terminal Qantas di Lapangan Terbang Melbourne kelmarin ketika syarikat penerbangan Qantas mencatat kerugian lebih daripada AS$1 bilion disebabkan sekatan perjalanan. – AFP