Qantas catat sejarah baharu

SYDNEY, 20 OKT – Pesawat penumpang tanpa henti milik Qantas berjaya mendarat dengan selamat di sini, pagi tadi, selepas menempuh perjalanan selama lebih 19 jam dari New York, sekali gus mencatat sejarah dalam sektor penerbangan komersial.

Pesawat QF7879 itu mengambil masa selama 19 jam dan 16 minit ketika mengadakan penerbangan terus dari New York ke Sydney.

Ia adalah salah satu daripada tiga penerbangan ultra jarak jauh, yang dirancang oleh syarikat penerbangan Australia itu, tahun ini.

Qantas sedang mengadakan penerbangan ujian, termasuk satu dari London ke Sydney, sebelum melancarkan perkhidmatan bagi laluan dari Amerika Syarikat dan Britain ke Australia.

Hanya 49 penumpang dan anak kapal menaiki Boeing 787-9 terbabit ketika ujian penerbangan itu, bertujuan meminimumkan berat di dalam pesawat.

Alan Joyce (tengah) bersama juruterbang dan pengurus syarikat penerbangan berkenaan ketika sidang media selepas menamatkan ujian penerbangan tanpa henti dari New York ke Sydney di Lapangan Terbang Sydney, kelmarin. – AFP

Selain itu, ia juga bertujuan memberi jajaran minyak yang mencukupi, untuk menempuh perjalanan sejauh 16,000 kilometer tanpa perlu mengisi semula minyak.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Qantas, Alan Joyce, berkata penerbangan itu mencatatkan sejarah bagi syarikat itu dan dunia penerbangan.

“Ia adalah satu daripada tiga penerbangan ujian, yang bakal membantu kita mengemukakan cadangan mengenai cara menangani masalah kelesuan juruterbang, dan gangguan ritma harian atau ‘jet lag’ penumpang.

“Selepas menempuh perjalanan selama 19 jam di dalam penerbangan ini, saya fikir kita berjaya menemui jawapannya. Ia rasa seperti tempoh penerbangan adalah lebih singkat berbanding sepatutnya,” katanya kepada pemberita sebaik sahaja tiba di sini.

Dalam pada itu, Qantas bekerjasama dengan dua universiti di Australia, bagi memahami bagaimana masalah gangguan ritma harian, menjejaskan kesihatan penumpang dan anak kapal, memandangkan mereka terpaksa menempuh pelbagai zon masa. – AFP