Qantas: penumpang wajib ambil vaksin

SYDNEY, 24 NOV – Penumpang destinasi antarabangsa bakal dikehendaki mengambil vaksin COVID-19 jika menggunakan penerbangan Qantas, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alan Joyce.

Beliau berkata, peraturan itu mungkin akan menjadi kebiasaan dalam industri itu dan syarikat penerbangan utama Australia itu akan melaksanakan pendekatan terbabit, sebaik saja vaksin COVID-19 boleh diperoleh orang ramai.

“Kami sedang melihat kemungkinan mengubah terma dan syarat khusus buat penerbangan antarabangsa berhubung pengambilan vaksin, sebelum dibenarkan menaiki pesawat.

“Sama ada ia diperlukan untuk penerbangan domestik, kita akan melihat perkembangan COVID-19, namun untuk penumpang antarabangsa ke Australia dan yang meninggalkan negara ini, ia akan menjadi keperluan,” katanya kepada Channel Nine.

Joyce meramalkan peraturan itu akan menjadi amalan standard dalam kalangan syarikat penerbangan seluruh dunia, dengan kerajaan dan syarikat penerbangan sedang menimbangkan penggunaan pasport vaksin elektronik.

Gambar fail pada 20 Ogos 2020 menunjukkan logo Qantas di jendela kaca terminal Qantas di Lapangan Terbang Melbourne. Penumpang destinasi antarabangsa bakal dikehendaki mengambil vaksin COVID-19 jika menggunakan penerbangan Qantas. – AFP

Sempadan antarabangsa Australia ditutup sejak Mac lalu bagi membendung penularan virus, yang sehingga kini sudah meragut lebih daripada sejuta nyawa di seluruh dunia.

Negara itu turut mengehadkan jumlah rakyat tempatan yang dibenarkan pulang setiap minggu, menyebabkan puluhan ribu lain masih terkandas di luar negara.

Qantas menggantung lebih 200 pesawat dan memecat 8,500 petugas bagi menampung kerugian berjumlah lebih AS$1.9 bilion, susulan kejatuhan permintaan ke atas perjalanan udara. Perdana Menteri Scott Morrison berkata, Australia bercadang mewujudkan gelembung perjalanan bersama negara lain bagi membendung penularan virus.

Negara itu bagaimanapun tidak bercadang membuka sepenuhnya penerbangan antarabangsa selagi vaksin COVID-19 tidak boleh diperoleh secara meluas.

Australia ialah antara negara yang disifatkan berjaya membendung COVID-19, mencatatkan hanya 27,800 kes dan 907 kematian sejak pandemik itu mula melanda negara terbabit.

Syarat kemasukan penumpang yang perlu divaksinasi mungkin akan dipraktikkan di seluruh dunia, dengan kebanyakan negara menggesa pe-numpang mempamerkan rekod vaksinasi mereka.

Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengumumkan kelmarin bahawa ia berada di ‘peringkat akhir’ untuk mengembangkan pas kesihatan digital yang dikatakan dapat digunakan untuk merekodkan ujian atau vaksinasi COVID-19 dan akan menyokong pembukaan semula sempadan yang selamat. – AFP