Qari negara tempa nama

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 April – Qari Negara Brunei Darussalam, Haji Awang Muhammad Fikri bin Haji Awang Metussin berjaya mengharumkan nama negara setelah mendapat di tempat ketiga bagi Kategori Tilawah pada Majlis Musabaqah, Hafazan dan Tajwid Al-Quran kali ke-10 yang berlangsung di Kuwait selama lapan hari.

Hadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei bagi mengalu-alukan kepulangan Haji Awang Muhammad Fikri dan rombongan ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof.

Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keagamaan) KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang, pengarah-pengarah, timbalan-timbalan pengarah dan pegawai-pegawai kanan KHEU.

Ketibaan rombongan tersebut disambut meriah dengan pukulan hadrah dan persembahan Dikir Marhaban sambil diiringi pemberian bunga telur kepada para peserta dan jemputan.

Buat kali pertama dalam sejarah negara pada pertandingan itu, Haji Awang Muhammad Fikri (gambar bawah) telah berjaya meraih di tempat ketiga dalam kategori berkenaan dengan memperoleh markah sebanyak 94 peratus dan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak 3,000 dinar Kuwait, piala dan sijil penyertaan.

Tahun ini, negara telah menghantar dua orang perwakilan bagi menyertai pertandingan berkenaan dalam dua kategori iaitu Kategori Tilawah dan Kategori Hafazan Al-Quran.

Haji Awang Muhammad Fikri merupakan peserta Musabaqah Membaca Al-Quran Bahagian Dewasa Peringkat Akhir Kebangsaan 1440H/2019M dan beliau sering dihantar bagi mewakili negara ke pertandingan-pertandingan seumpamanya.

Pada akhir majlis, bacaan Doa Selamat dan kesyukuran telah dibacakan oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Awang Ahmad Syafiq bin Haji Osman.

Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bergambar ramai bersama Haji Awang Muhammad Fikri (empat, kanan) semasa menyambut qari negara bersama rombongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei.

Kepulangan Haji Awang Muhammad Fikri dan rombongan disambut sejurus tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei, kelmarin.