BEIRUT, 13 MAC – Qatar akan memulakan pembekalan gas asli ke Syria melalui Jordan sebagai sebahagian daripada inisiatif kemanusiaan untuk meningkatkan pengeluaran elektrik, bermula dengan 400 megawatt dan secara beransur-ansur meningkatkan jumlahnya, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Menurut Syria TV hari ini, inisiatif itu bertujuan untuk mengatasi kekurangan pengeluaran elektrik yang serius di Syria serta memperbaiki infrastruktur negara itu.
Inisiatif Qatar ini dilaksanakan melalui Dana Pembangunan Qatar, kata laporan itu.
Akibat kemusnahan infrastruktur semasa konflik di Syria dan sekatan yang dikenakan oleh Barat, bekalan elektrik di negara itu amat terhad, dengan penjana diesel digunakan secara meluas berikutan gangguan bekalan elektrik yang berterusan. – Bernama
