Qatar kemukakan kes kepada PBB

THE HAGUE, 27 Jun – Qatar hari ini mengemukakan kes segera ke hadapan mahkamah tinggi Pertumbuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang menuduhnya mencabuli hak asasi kemanusiaan selepas jiran di Teluk itu memutuskan semua hubungannya dengan Doha tahun lalu.

Pada sesi dengar tiga hari di Mahkamah Keadilan Antarabangsa itu, para hakim akan mendengarkan hujahan para pegawai Doha, dengan UAE dijangka akan memberi tindak balas esok. Kedua-dua pihak akan berbincang pada Jumaat ini.

Kes itu dibuat setahun selepas Arab Saudi, UAE, Bahrain dan Mesir telah memutuskan hubungan dengan Doha pada 5 Jun 2017, yang menuduhnya menyokong pengganasan dan Iran. Doha menafikan dakwaan itu.

Qatar, sebuah negara semenanjung kecil mendapati satu-satunya sempadan tanahnya telah ditutup, penerbangan milik kerajaannya telah ditegah dari menggunakan ruang udara jiran-jirannya, dan para penduduk Qatar diusir dari negara-negara yang memulaukannya.

Ia telah memfailkan kes kepada badan itu yang beribu pejabat di The Hague awal bulan ini, dengan mengatakan ‘UAE telah melaksanakan siri-siri langkah berdiskriminasi yang ditujukan kepada rakyat Qatar berdasarkan asal warga mereka’, yang mengakibatkan dakwaan pencabulan hak asasi kemanusiaan.

Ia telah meminta mahkamah yang mengeluarkan perintah dalam pertikaian antara negara-negara itu untuk dengan segera mengarahkan UAE ‘berhenti dari semua tindakan yang boleh membawa kepada sebarang bentuk diskriminasi kaum ke atas individu-individu dan entiti Qatar’.

Doha mengasaskan dakwaannya pada Konvensyen Antarabangsa 1965 berhubung Penyingkiran Semua bentuk Diskriminasi Kaum (CERD), salah satu perjanjian hak asasi kemanusiaan sejagat yang akan dibentuk.

Qatar dan UAE adalah negara yang telah menandatangani konvensyen itu.

“Langkah-langkah yang menyalahi undang-undang yang dikenakan oleh UAE telah memecahbelahkan keluarga,” kementerian luar Qatar berkata awal bulan ini, dalam satu kenyataan yang memetik Menteri Luar Qatar, Mohammed bin Abdulrahman Al-Thani.

“UAE melucutkan syarikat-syarikat dan individu-individu Qatar dari memiliki harta dan aset dan tidak memberikan kemudahan pendidikan, ubat dan keadilan di mahkamah UAE,” tambahnya lagi. – AFP