DOHA, 21 JAN – Kerjasama dalam perihal kemanusiaan di Afghanistan antara perkara yang disentuh ketika pertemuan antara Penolong Menteri Luar Qatar, Lolwah Rashid Mohammed al Khater dan Timbalan Menteri Luar Malaysia, Datuk Kamarudin Jaffar.
Perbincangan ini dilakukan ketika lawatan Kamarudin ke Doha kelmarin.
Menurut agensi berita Qatar (QNA) yang memetik kenyataan Kementerian Luar Qatar, antara perkara lain yang disentuh ketika pertemuan itu adalah perkembangan terkini di Afghanistan, terutama isu-isu berkaitan dengan keselamatan, politik dan ekonomi.
Kedua-dua pihak turut membincangkan hubungan kerjasama dua hala antara Qatar dan Malaysia serta cara-cara untuk menyokong dan memperkukuhkan hubungan kedua-dua negara dalam pelbagai bidang. Kamarudin juga merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Qatar atas usaha dan peranan pentingnya dalam memudahkan operasi pemindahan dari Afghanistan. Sementara itu, Jurucakap Pejabat Politik Taliban di Doha, Dr Muhammad Naim turut bertemu Kamaruddin dan delegasinya.
Menerusi kenyataan di laman sosial Twitter, Dr Muhammad Naim berkata dalam pertemuan itu, pelbagai isu politik, ekonomi dan berkaitan dua hala dibincangkan secara terperinci.
“Kami berkongsi dengan Timbalan Menteri itu mengenai perkembangan terkini di Afghanistan khususnya isu keselamatan, politik dan ekonomi, dan kami turut berkongsi isu berkaitan lain seperti hak asasi manusia, hak wanita dan tadbir urus yang baik,” kata beliau.
Beliau berkata Timbalan Menteri Luar Malaysia itu memberi jaminan akan meneruskan kerjasama dan bantuan kepada rakyat Afghanistan. – Bernama