Qatar sahkan penyertaan Piala Emas

KUALA LUMPUR, 3 SEPT – Tuan rumah Piala Dunia, Qatar bakal bermain di Piala Emas tahun depan yang berlangsung di Amerika Syarikat (AS) selepas menerima jemputan daripada badan pengurusan bola sepak dari Amerika Utara dan Tengah dan Caribbean.

Konfederasi Bola Sepak Asia mengeluarkan kenyataan hari ini dengan menyebut juara Piala Asia itu akan mengambil bahagian dalam kejohanan 2021 dan 2023 sebagai tetamu di bawah memorandum persefahaman yang ditandatangani di Bahrain pada 2017.

“Kami melihat ia sebagai peluang yang jelas bagi kedua-dua konfederasi untuk membantu dan memperbaiki kedua-dua pihak dari segi prestasi di padang – untuk pasukan, pemain dan pengadil perlawanan serta kakitangan operasi – dan sama pentingnya, untuk meneruskan pembangunan bola sepak di rantau kita,” menurut kenyataan dari presiden AFC, Sheikh Salman bin Ibrahim Al-Khalifa.

“Qatar boleh terus mengembangkan pengetahuan mereka dalam bola sepak antarabangsa berikutan Piala Asia UAE 2019 AFC tahun lalu dan Copa Amerika. Kami memberi jaminan bahawa semua orang akan mendapat manfaat daripada penyertaan Qatar dalam kejohanan”. – AFP