Thursday, April 25, 2024
29.9 C
Brunei

    -

    Qatar sedia terima 200,000 penumpang sehari

    DOHA, 27 MEI – Qatar hanya akan membenarkan peminat bola sepak dengan tiket perlawanan untuk memasuki negara Teluk semasa kejohanan Piala Dunia, kata pegawai semalam ketika mereka mengumumkan bahawa puluhan penerbangan akan membawa masuk ribuan peminat setiap hari dari negara jiran.

    Berdepan tekanan yang meningkat untuk mengendalikan kejohanan bola sepak yang bakal berlangsung selama empat minggu, ketua eksekutif Qatar Airways, Akbar Al Baker berkata syarikat penerbangan itu akan membatalkan beberapa laluan ke negara-negara yang tidak terlibat dalam kejohanan 32 negara semasa perlawanan berlangsung serta mengurangkan jumlah penerbangan ke negara lain.

    Baker, juga menteri pelancongan, berkata Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad di Qatar dan Lapangan Terbang Antarabangsa Doha akan menambah dua kali ganda kapasiti agar mereka boleh memproses lebih daripada 200,000 penumpang sehari. Negara kecil itu berusaha mencari bilik untuk 1.4 juta pelawat dan pegawai jawatankuasa penganjur Piala Dunia berkata hanya peminat dengan tiket akan dibenarkan masuk sepanjang kejohanan yang akan bermula pada 21 November.

    Peminat perlu mendapatkan satu pas khas, kad Haya, untuk memasuki negara dan stadium. Mereka memerlukan tiket perlawanan untuk mendapatkan pas berkenaan.

    Baker mengumumkan Saudia, Kuwait Airways, flydubai dan Oman Air akan menganjur lebih daripada 160 penerbangan harian bermula 20 November untuk membawa penyokong menyaksikan perlawanan dalam perjalanan sehari.

    Pegawai menganggarkan lebih daripada 20,000 peminat akan masuk setiap hari dengan penerbangan tersebut. Ketua eksekutif Saudia, Ibrahim Koshy berkata syarikat penerbangannya akan mengendalikan sekurang-kurangnya 30 penerbangan setiap hari dari bandar Riyadh dan Jeddah, yang akan membawa 10,000 peminat.

    Flydubai pula akan mengendalikan sekurang-kurangnya 30 penerbangan ulang-alik, Kuwait Airways 10 manakala Omar Air 24 penerbangan, kata Baker.

    Baker berkata pihak berkuasa penerbangan awam Qatar akan menambah kapasiti ruang udara supaya tiga landasan kapal terbang di lapangan terbang Hamad boleh beroperasi ‘secara berterusan’ semasa Piala Dunia.

    Selain itu, beliau berkata ‘sistem imigresen canggih’ akan diperkenalkan untuk mempercepatkan ketibaan penumpang antarabangsa. – AFP

    Akbar al-Baker mengadakan sidang media mengenai persediaan untuk perlawanan Piala Dunia FIFA 2022 di ibu negara Doha pada 26 Mei 2022. – AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...