Qatar selar tindakan Israel

DOHA, 21 Feb – Qatar menyelar tindakan Israel menutup pintu masuk Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis, lapor agensi berita Anadolu memetik kenyataan Kementerian Luar Qatar.

Terdahulu, tentera Israel ditempatkan berhampiran Pintu Al-Rahma di sebelah timur masjid, di tengah-tengah ketegangan yang semakin memuncak.

Kenyataan itu juga menyeru masyarakat antarabangsa menyuarakan bantahan mereka terhadap dasar Israel demi untuk perpaduan rakyat Palestin.

Pada Isnin, pihak berkuasa Israel menutup pintu terbabit bagi menghalang ratusan umat Islam memasuki Al-Aqsa, selain menahan beberapa rakyat Palestin yang berada di dalam kompleks masjid.

Pada hari berikutnya, pihak berkuasa Israel dilaporkan membuka semula pintu itu sementara waktu. – Bernama