Qatar terus labur di negara ASEAN

KUALA LUMPUR, 9 OKT – Qatar akan meneruskan dagangan dan pelaburan ke negara-negara ASEAN, khususnya Malaysia walaupun dalam persekitaran perang perdagangan Amerika Syarikat (AS) dan China yang berlanjutan, kata Menteri Perdagangan dan Industrinya, Ali Ahmed Al-Kuwari. Ketika memberi jaminan itu, beliau berkata ini berikutan Qatar tidak terjejas akibat perbalahan perdagangan berkenaan.

Terdahulu, beliau melakukan kunjungan hormat ke atas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di bangunan Parlimen di sini, hari ini. Hadir sama Duta Qatar ke Malaysia Fahad Mohammed Kafoud berserta delegasi Kementerian Perdagangan dan Industri Qatar.

Ali kini dalam rangka lawatan kerja dua hari ke Malaysia bagi menghadiri Mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama Malaysia-Qatar yang akan diadakan di Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri esok. Mesyuarat itu antara lainnya dijangka membincangkan aspek kerjasama perdagangan dan pelaburan selain usaha meningkatkan pelaburan membabitkan kedua-dua negara tersebut.

Malah, beberapa memorandum persefahaman dalam bidang jaminan dan keselamatan makanan serta promosi pelaburan akan turut ditandatangani pada mesyuarat itu, kata beliau. – Bernama

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan) menerima kunjungan hormat Menteri Perdagangan dan Industri Qatar, Ali Ahmed Al-Kuwari di Bangunan Parlimen, kelmarin. – Bernama