Qatar, Turki lanjut perjanjian mata wang

DOHA, 8 DIS – Qatar dan Turki mengumumkan bahawa mereka bersetuju untuk melanjutkan perjanjian pertukaran mata wang antara bank pusat mereka, ketika nilai lira Ankara jatuh disebabkan krisis ekonomi.

Menurut kenyataan bersama semalam, kedua-dua pihak ‘mengalu-alukan penandatangan perjanjian mengenai lanjutan dan pemindaan perjanjian pertukaran mata wang lira-riyal.

Pengumuman dibuat semasa Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan membuat kunjungan ke Doha di mana beliau bertemu dengan Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al-Thani dan membincangkan pengukuhan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi.

Perjanjian pada 2018 dilanjutkan buat kali pertama pada Mei 2020, dengan had keseluruhan meningkat dari AS$5 bilion bersamaan dengan lira Turki dan riyal Qatar kepada AS$15 bilion.

Kadar inflasi tahunan Turki melonjak minggu lalu melebihi 20 peratus – yang tertinggi dalam masa tiga tahun.

Negara yang mempunyai penduduk seramai 84 juta orang itu menyaksikan penurunan lira dan harga pengguna melambung naik, dengan lira kehilangan lebih 45 peratus nilanya berbanding dolar sejak awal tahun.

Krisis mata wang Turki kini lebih teruk berbanding yang dialami semasa perbalahan politik dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada 2018. Turki dan Qatar, sekutu rapat AS, menjadi rakan ekonomi dan politik sejak beberapa kali.

Kerajaan Erdogan dilihat menyokong Doha semasa Arab Saudi memboikot Qatar sejak 2017 atas dakwaan ia menyokong kumpulan pengganas dan terlalu rapat dengan Iran, namun dinafikan oleh Doha. – AFP

Gambar bertarikh 7 Disember menunjukkan mata wang dolar Amerika Syarikat dan lira Turki. Qatar dan Turki bersetuju untuk melanjutkan perjanjian pertukaran mata wang antara bank pusat mereka. – AFP