Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Mei – Awang Qawim bin Haji Aslimon muncul juara Kejohanan Baiduri Masters ke-22 apabila berjaya membuat 75 pukulan yang kemudian menerima pialanya dalam Majlis Penganugerahan Hadiah yang diadakan di Ballroom Hua Ho, Manggis Mall, di sini.
Berkenan berangkat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Dr. Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Fattaah, selaku ahli Lembaga Pengarah Bank Baiduri.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.
Dr. Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Fattaah berkenan menganugerahkan piala kemenangan beserta wang tunai sejumlah $1,500 dan ‘Baju Hijau’ kepada Awang Qawim.
Berada di tempat kedua ialah Awang Zohari bin Ahmad yang berjaya meraih 75 pukulan (dalam pengiraan balik – OCB) sementara juara dua tahun lalu, Awang Seruji bin Haji Setia turut membariskan dirinya sebagai antara pemenang teratas kejohanan apabila berada di tempat ketiga dengan 76 pukulan.

Buat kali pertama juga Kejohanan Baiduri Masters kali ini mengadakan Kejohanan ‘Gross’ Wanita, yang telah dijuarai oleh Vanessa Boumba Marie dengan jumlah keseluruhan pukulan ‘gross’ 77 dan telah memenangi wang tunai sebanyak $500.
Selain itu, beberapa pemenang lain juga telah menerima hadiah mereka masing-masing mengikut Kategori ‘Hole-in-One’, ‘Pace Setter’, ‘Nearest-to-pin’, ‘Longest drive’, dan tidak ketinggalan juga kepada pemenang cabutan bertuah.
Awang Qawim ketika ditemu bual Media Permata menjelaskan bahawa beliau amat gembira kerana telah menjuarai kejohanan berkenaan.
“Ini adalah impian saya sejak saya lagi kecil lagi,” jelasnya.