QFA denda bekas bintang Barca

DOHA, 7 OGOS – Persatuan Bola sepak Qatar (QFA) telah mendenda bekas bintang Barcelona, Xavi Hernandez dan beberapa orang pemain dan kakitangan sebanyak AS$2,700 setiap seorang kerana melanggar peraturan koronavirus, menurut satu kenyataan dikeluarkan kelmarin.

Xavi, ketua jurulatih kelab Qatar, Al-Sadd, mendedahkan bulan lalu bahawa dia telah dijangkiti virus, kemudian menyiarkan di Instagram pada 29 Julai bahawa dia telah pulih dan kembali bekerja.

Hukuman tersebut, yang termasuk amaran rasmi dari liga, adalah disebabkan ‘tidak mematuhi protokol keselamatan Kementerian Kesihatan Awam termasuk melanggar perjanjian kuarantin dari rumah yang ditandatangani olehnya,’ menurut kenyataan itu.

Liga Bintang Qatar (QSL) telah disambung semula pada 24 Julai dengan peraturan penjarakan fizikal yang ketat, rutin ujian ke atas pemain dan kakitangan dan pihak media tidak dibenarkan untuk menghadiri perlawanan.

Perlawanan telah digantungkan sejak Mac lalu disebabkan oleh penularan COVID-19. Sama seperti beberapa liga Eropah, pemain dan jurulatih di QSL diarahkan untuk mengasingkan diri dari kontak luar sehingga 22 Ogos.

“Kesemua pemain dan jurulatih telah menandatangani perjanjian untuk komited berada di rumah demi untuk mencegah penularan virus ke atas pemain kerana terdapat kontak yang kerap di antara mereka,” pengarah kejohanan QSL, Ahmed Abbassi memberitahu AFP.

Pemain Al-Sadd, Hammam al-Amin dan Abdul Karim Hassan didenda 10,000 riyals (AS$2,700) dan amaran dari jawatankuasa disiplin QFA, seperti pemain dan kakitangan dari beberapa pasukan Qatar yang lain. Lebih dari empat peratus dari 2.75 juta penduduk Qatar telah dijangkiti COVID-19, dengan 112,092 kes dilaporkan sejak permulaan pandemik dan telah menjadikan negara Teluk tersebut sebagai salah satu jumlah jangkitan per kapita tertinggi. – AFP