QO: Pekerja, majikan perlu kompromi

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 OGOS – Para pekerja yang menerima Perintah Kuarantin (QO) harus mematuhi arahan yang dikeluarkan dan perlu tinggal di rumah serta tidak pergi ke tempat kerja.

Para majikan telah menyatakan bahawa jika terdapat arahan daripada Kementerian Kesihatan bagi pekerja untuk tidak pergi ke tempat kerja, maka mereka akan membenarkan pekerja mereka untuk berbuat demikian tanpa memotong cuti tahunan.

Pada masa yang sama, mereka harus memastikan bahawa para pekerja tidak menyalahgunakan kebenaran yang diberikan itu, tegas

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah ketika mengulas persoalan sesetengah pekerja yang diarahkan bagi pengasingan diri atau kuarantin dipotong cuti tahunan mereka semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-’Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Beliau seterusnya menjelaskan dalam perkara itu, pendapat daripada kedua-dua belah pihak iaitu pihak majikan dan pekerja harus didengar di mana terdapat sesetengah perniagaan yang tidak dapat bergerak tanpa pekerja serta pendapatan mereka juga terjejas pada masa ini.

Sementara itu, bagi para pekerja pula, mereka harus mematuhi QO yang diberikan dan perlu tinggal di rumah.

Beliau menekankan direktif itu adalah untuk memastikan bahawa mereka yang benar-
benar merasa kurang sihat terus tinggal di rumah sebagai langkah berjaga-jaga jika mereka mula menunjukkan gejala dan dijangkiti virus itu.

Beliau berkata terdapat segelintir pekerja yang mungkin akan menyalahgunaan perkara itu dan mereka hanya tinggal di rumah di mana ia setentunya akan menjejaskan ope-rasi perniagaan kerana kekurangan pekerja.

“Ini adalah di antara pihak syarikat dan pekerja di mana mereka perlu mencapai satu kompromi berhubung perkara itu,” tambahnya.

Jelasnya lagi, sebilangan syarikat besar mampu membenarkan pekerja mereka untuk menjalani kuarantin selama 14 hari dan terdapat juga syarikat lain yang tidak mampu berbuat
sedemikian.

Secara asasnya, setelah mendapat pandangan daripada beberapa buah syarikat, Yang Berhormat Dato menjelaskan bahawa jika mereka mendapati bahawa ia merupakan satu direktif daripa-da Kementerian Kesihatan, mereka akan membenarkannya kerana ia bukannya satu perkara yang disenghajakan oleh pekerja berkenaan.

Walaupun mereka diarahkan untuk duduk dirumah, bagi memenuhi kehendak QO berkenaan dan bukannya sakit, mereka masih mampu untuk melakukan sebahagian daripada kerja mereka di rumah kerana menerima QO itu, tidak semestinya mereka tidak boleh melakukan kerja.

Bagi mereka yang sakit atau kurang sihat serta perlu dimasukkan ke hospital se-tentunya mereka tidak dapat melakukan pekerjaan dan ia adalah cuti sakit.

Dalam perkara itu, Yang Berhormat Dato menyeru perlu ada pertimbangan dan sikap bertolak-ansur daripada kedua-dua belah pihak iaitu majikan dan pekerja.