Thursday, April 18, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Qody akur masih belum popular

    Penyanyi, Qody Rani, 28, enggan mengalah, biarpun belum rezeki menempa populariti seperti artis lain.

    Akur populariti belum memuncak, Qody atau nama sebenarnya Rossaidi Abdul Rani berkata, dia tetap akan meneruskan perjalanannya di dalam bidang muzik.

    “Saya sedar penerimaan saya masih belum sampai ke tahap diinginkan. Tetapi, saya tak mahu mengalah sebab saya melalui liku-liku perjalanan sangat mencabar, dari awal sampai sekarang.

    “Saya mahu menjadikan susah payah sebagai satu pedoman untuk saya terus kekal. Saya tahu bukan mudah menggenggam kejayaan.

    “Apa yang saya nampak, kebanyakan penyanyi baharu nak cepat tular dan terkenal. Bagi saya, ia tak salah, tetapi kemungkinan susah nak bertahan.

    Qody Rani enggan mengalah, biarpun belum rezeki menempa populariti seperti artis lain. – Agensi

    “Ada baiknya jika populariti seseorang penyanyi naik secara berperingkat,” katanya kepada media.

    Sebelum ini, Qody berjaya menduduki tempat kedua dalam program Mentor Milenia 2016, seterusnya tempat ketiga dalam program realiti Big Stage musim ketiga.

    Justeru, kata Qody, dia akan terus berusaha mengembangkan bakatnya dengan berkarya dan pada masa sama, mengambil setiap peluang ditawarkan.

    “Ada kala, artis nampak biasa-biasa sahaja tetapi ‘job’ tidak putus-putus. Bagi saya, populariti dan nama juga penting dalam industri agar orang senang ingat.

    “Namun, saya tetap bersyukur, perjalanan seni masih berjalan dengan lancar. Selepas melancarkan single terbaharu, Rayuan Kasih, saya dipilih menyertai dalam beberapa program realiti dan program rakaman lain,” katanya.

    Tambah penyanyi kelahiran Pulau Langkawi, Kedah itu, dia mahu orang ramai menilainya menerusi kualiti yang ada pada diri, selain menghasilkan karya malar segar.

    “Saya nak orang menilai saya dari segi kualiti. Saya belajar daripada karya lama sebab sekarang sudah terbukti karya lama malar segar dan ramai penyanyi baru mahu merakam semula lagu-lagu lama.

    “Kita berkarya untuk bertahan seperti lagu-lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang kita dengar sampai sekarang sebab hasil kualitinya.

    “Saya percaya rezeki ketentuan Ilahi, tetapi sebagai manusia, perlu sentiasa berusaha. Kita mencuba dan terus berkarya.

    “Kalau dalam soal berkarya, saya tak boleh berhenti mencuba,” katanya.

    Selain menyanyi, Qody kini mula berjinak dalam bidang penulisan lagu. Kini, buat kali pertama, Qody memberanikan diri menghasilkan lagu ciptaan sendiri berjudul Rayuan Kasih yang dilancarkan pada 1 Julai lalu.

    Qody berharap, lagu Rayuan Kasih mampu memperkukuhkan kedudukannya dalam industri muzik tanah air. Berkongsi mengenai lagu Rayuan Kasih, Qody berkata, lagu dan lirik adalah berdasarkan kisah sebenar yang terjadi kepada orang sekelilingnya. – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...