Tuesday, April 29, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    QSR Brands rancang buka 24 lagi cawangan KFC

    KLUANG, 22 Okt – QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands) merancang membuka 24 cawangan baharu restoran makanan segera KFC di seluruh negara tahun depan susulan kejayaan pembukaan 23 cawangan tahun ini.

    Pengarah Urusannya Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil berkata pihaknya bercadang untuk memfokuskan pembukaan restoran jenis pandu lalu yang menjadi pilihan pelanggan masa kini.

    “Atas alasan itulah kita bekerjasama dengan beberapa pemaju perumahan, termasuk Matrix Concepts Holdings Berhad (Matrix Concepts) untuk membina restoran itu.

    “Hasil (kerjasama) dengan pihak Matrix Concepts sebelum ini menyaksikan pembinaan restoran KFC ke-700 di Seremban. Kini, kami bersetuju meneruskan kerjasama dengan salah satu cawangan di Impiana Square, Bandar Seri Impian, Kluang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian pada majlis pecah tanah restoran pandu lalu KFC di Bandar Seri Impian yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Operasi KFC Malaysia Ling Mee Jiuan dan Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts Ho Kong Soon.

    Pada majlis tersebut, QSR Brands dan Matrix Concepts turut menandatangani memorandum perjanjian pembinaan restoran KFC.

    Mengulas selanjutnya, Mohamed Azahari juga menyifatkan kerjasama strategik dengan pemaju terkemuka itu sebagai langkah penting pengembangan rangkaian restoran serta menjadi komponen pertumbuhan utama bagi manfaat jangka panjang syarikat. – Bernama

    Datuk Seri Mohamed Azahari Mohamed (tiga, kanan) melakukan gimik upacara pecah tanah Restoran KFC Pandu Lalu di Impiana Square Bandar Seri Impian Kluang, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda