Qualitas rancang perluaskan operasi

PETALING JAYA, 2 Jan – Qualitas Medical Group Sdn Bhd (Qualitas) merancang memperluaskan operasi dengan membuka sekurang-kurangnya tiga pusat penjagaan ambien di Lembah Klang tahun ini.

Pengasas, Pengerusi dan Pengarah Urusannya Datuk Dr Noorul Ameen Mohamed Ishack berkata pengembangan yang tepat pada masanya itu merupakan sebahagian daripada rancangan strategik syarikat berikutan wujudnya persekitaran yang kondusif, disokong oleh teknologi dan permintaan.

Beliau berkata operasi penjagaan ambien atau pusat jagaan harian berkenaan akan dilaksanakan dengan kerjasama pakar-pakar yang akan melakukan rondaan untuk menjalankan prosedur perubatan yang lebih murah berbanding hospital.

“Dimasukkan ke hospital dan mendapat rawatan membabitkan perbelanjaan yang sangat mahal. Ada permintaan daripada pengguna serta syarikat-syarikat insurans yang mahukan prosedur dan perundingan pakar dilakukan pada kos yang lebih rendah.

“Teknologi perubatan telah berkembang pesat dan anda tidak lagi perlu dimasukkan ke hospital untuk menjalani prosedur perubatan yang sama. Inilah sebabnya kami mahu meneroka dalam bidang ini,” katanya kepada Bernama.

Pertumbuhan secara menegak ini akan membolehkan pengembangan di sepanjang rantaian bekalan, memperluas ke dalam operasi baharu bagi mengurangkan kebergantungan syarikat ke atas firma lain dalam proses pengeluaran dan pengedaran.

Dr Noorul Ameen berkata syarikat itu telah mengenal pasti pusat ambient pertamanya di Eve Suites, Ara Damansara. – Bernama