Quartararo sasar kebangkitan di Misano

MILAN, 17 SEPT – Fabio Quartararo berusaha untuk memberikan tindak balas daripada persembahan kurang memuaskan yang ditunjukkan pada hujung minggu lalu ketika pendahulu kejohanan MotoGP itu bersedia untuk GP San Marino sementara Francesco Bagnaia menyasarkan kemenangan kedua berturut-turut.

Penunggang Perancis, Quartararo menyaksikan kedudukannya mendahului secara keseluruhannya dikurangkan kepada 53 mata pada hujung minggu lalu selepas dia menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan di GP Aragon, dan dia sempat mengakui sebelum perlumbaan bahawa litar tersebut adalah salah satu yang kurang digemarinya.

Kini pelumba berusia 22 tahun itu ingin kembali bangkit di Misano, beraksi di laman sendiri buat pelumba Itali, Bagnaia yang kini merupakan pencabar rapat Quartararo selepas memenangi perlumbaan sulung MotoGP di Sepanyol sebelum ini.

Penunggang Ducati, Bagnaia, bekas pelatih kepada legenda Valentino Rossi, mempunyai sebab untuk terus yakin memintas kedudukan Quartararo selepas dia berjaya menduduki tangga kedua di Misano musim lalu dan memenangi kelas Moto2 tiga tahun lalu.

“Apa yang pernah berlaku kini tinggal sejarah, ia adalah satu perkara biasa jurang kedudukan semakin rapat, dan kemudian ia boleh menjadi jauh sekali lagi. Saya tidak gusar mengenainya,” kata Quartararo.

Quartarato akan kembali bersemangat dengan kepulangan Franco Morbidelli, bekas rakan sepasukannya di Yamaha-SRT yang telah dipromosikan ke pasukan utama selepas Maverick Vinales meninggalkan pasukan untuk menyertai Aprilia.

Morbidelli akan membuat penampilan sulung pada Ahad selepas bersetuju dengan perjanjian yang akan mengekalkannya bersama Yamaha sehingga penghujung kempen 2023.

Pelumba berusia 26 tahun itu disisihkan selepas menjalani pembedahan di bahagian lutut kiri pada penghujung Jun, bermakna dia sudah ketinggalan lima perlumbaan terakhir. – AFP

Aksi Quartararo semasa sesi latihan di San Marino, kelmarin. – AFP