Friday, April 19, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Quartararo tidak gentar, perebutan takhta baru sahaja bermula

    PHILLIP ISLAND, AUSTRALIA, 13 OKT – Penyandang juara kejohanan MotoGP, Fabio Quartararo menegaskan kelmarin dia kekal tenang dan tidak goyah dengan siri keputusan yang teruk menyebabkan peluang memburu gelaran juara luas terbuka.

    Pemandu dari Perancis itu hanya mampu mengutip 8 mata dengan jentera Yamaha dalam tiga perlawanan terkini, sekali gus membenarkan pemandu dari Itali, Francesco Bagnaia dengan jentera Ducati untuk menutup jurang kepada dua mata dengan baki tiga perlumbaan sahaja.

    Selepas 17 perlumbaan, lima pelumba mempunyai sekitar 40 mata dan kesemua mereka masih layak untuk merebut gelaran juara, dengan baki sebanyak 75 mata untuk direbut.

    Quartararo menamatkan perlumbaan yang ke-17 di Thailand dua minggu lalu dengan teruk sekali sehinggakan dia kecewa dan menolak untuk bercakap dengan pihak media, yang mana dia memohon maaf kelmarin.

    “Saya mengharapkan perlumbaan yang lebih baik,” katanya. “Kami tersilap langkah dari awal lagi, bermula dengan tekanan (tayar) yang sangat tinggi.

    Aksi Fabio Quartararo ketika sesi pusingan kelayakan MotoGP Thailand di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, baru-baru ini. – AP

    “Pada penghujung perlumbaan, keadaan jadi sangat sukar. Saya mengambil keputusan untuk tidak bercakap dengan pihak media. Saya memohon maaf kepada semua orang yang berada di Thailand. Keadaan ketika itu sangat berat sehinggakan saya tak terkata-kata.”

    Bagnaia menghabiskan perlumbaan di tempat ketiga, dengan itu kedua-dua pelumba bersepakat mengatakan perebutan gelaran juara baru sahaja bermula di Phillip Island di Australia pada hujung minggu ini.

    “Kami perlu pikirkan mengenai kejohanan ini sekarang, tetapi sebenarnya saya mahu mengira satu per satu dari awal kerana ini mungkin penghujung (musim perlumbaan), namun saya rasa ia seperti permulaan kepada kejohanan ini,” kata pemandu dari Perancis itu.

    Selepas memburu gelaran juara dunia pada 2020 dan memenanginya pada tahun lepas, Quartararo berkata pengalaman tersebut ternyata sangat berharga baginya.

    “Menyandang gelaran juara dari tahun lepas telah memberikan saya keyakinan yang tinggi dan pengalaman yang banyak,” katanya.

    “Jadi sudah tentulah pengalaman yang saya ada sejak dua tahun lepas telah membantu saya untuk terus bertenang dalam situasi sebegini.”

    Bagnaia, yang menyertai perebutan gelaran juara selepas berjaya memperoleh 36 mata dari tiga perlumbaan terkini turut berasa musim ini seperti baru sahaja bermula. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...